KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri bersetuju menaikkan kadar bantuan sekali bayaran kepada golongan Orang Kurang Upaya (OKU) sebanyak RM200, berbanding hanya RM150 tahun lalu.
Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Hal Ehwal Wanita dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata bantuan sekali bayaran kepada 33,301 OKU yang berdaftar di seluruh negeri itu akan dibayar selewat-lewatnya selepas sambutan Aidilfitri, April depan.
Dengan kenaikan itu, katanya, kerajaan negeri membelanjakan kira-kira RM6.7 juta berbanding kira-kira RM5 juta seperti diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar ketika membentangkan bajet 2023 pada November lalu.
“Kenaikan kadar bantuan RM150 kepada RM200 bagi meringankan beban golongan OKU di negeri dipersetujui pada mesyuarat EXCO baru-baru ini dan diumumkan Ahmad Samsuri semalam.
Terdahulu, Hanafiah yang juga Ahli Dewan Undangan negeri (ADUN) Chukai menyampaikan cenderamata kepada syarikat dan agensi kerajaan yang terbabit mengadakan pameran sempena Karnival Orang Kurang Upaya (OKU) peringkat negeri di Dataran Batu Burok, yang diadakan selama tiga hari mulai Khamis lalu.
Yang turut hadir, Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) negeri, Mazura Ngah Abdul Manan.
Mengulas lanjut, Hanafiah berkata, pembayaran bantuan sekali bayaran bagi meringankan beban kewangan golongan OKU akan dilakukan selepas pengagihan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal sebelum Ramadan bukan depan.
Katanya, kerajaan akan menyelesaikan bantuan sekali bayaran sebanyak RM200 kepada 1,000 imam dan bilal di seluruh negeri seperti diluluskan pada pembentangan Bajet 2023 November tahun lalu.
“Kita akan selesaikan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal serta bantuan i-fitri serta bantuan bencana kepada kira-kira 26,000 mangsa bencana banjir yang melanda di negeri ini Disember lalu.
“Kerajaan akan menyelesaikan bantuan sekali bayaran kepada imam dan bilal serta mangsa banjir sebelum Ramadan bulan depan,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN