Terengganu Negeri Kedua Paling Sejahtera – Skor IKK

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Terengganu menjadi negeri kedua tertinggi di Malaysia dari segi tahap kesejahteraan keluarga berdasarkan Skor Indeks Kesejahteraan Keluarga Malaysia (IKK) yang dikeluarkan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN).

Pengarah Lembaga Penduduk Dan Pembangunan Keluarga Negeri (LPPKN) Terengganu, Muhamad Noh Abdullah berkata, negeri ini mencatatkan skor 8.10 daripada 10 diikuti Negeri Sembilan (8.03) dan didahului Wilayah Persekutuan Putrajaya (8.37).

“Penanda aras tersebut dibuat berdasarkan lapan domain seperti hubungan kekeluargaan, ekonomi keluarga, kesihatan dan lain-lain lagi dimana kita menyasarkan skor 8 di semua aspek tersebut.

“Contohnya, domain keluarga, peranan agama dan amalan kerohanian memperoleh markah tertinggi dengan 8.75 diikuti dengan domain hubungan kekeluargaan (8.63).

“Berdasarkan skor itu, kita boleh menganggap bahawa rakyat disini telah mencapai indeks keluarga yang baik serta pelaksanaan pelbagai inisiatif kerajaan negeri telah dizahirkan dalam tindakbalas positif itu,” katanya ketika bersiaran langsung di TVDI.

Tambahnya, skor IKK Terengganu pada 2019 merupakan peningkatan daripada berbanding pada tahun terakhir pada 2016 (7.56) dan melepasi nilai kebangsaan iaitu 7.72.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat menyifatkan pencapaian penilaian tersebut adalah selaras dengan Pelan Induk Terengganu Sejahtera (PITAS) 2030.

“Kerajaan negeri akan terus komited dalam meneruskan dasar merangkumi Maju, Berkat dan Sejahtera serta bekerjasama dengan agensi berkaitan dalam perancangan program lebih tepat dan releven dengan keperluan kekeluargaan semasa,” katanya.

Untuk rekod, IKK bertujuan untuk memantau kesejahteraan keluarga Malaysia serta menjadi panduan kepada para penggubal dasar membentuk strategi yang lebih efektif dan program yang tepat kepada sasarannya.

Sumber: TRDI News