Terengganu Sasar Kehadiran 150 ribu Pengunjung ke Kawasan Cengal Besar Tahun Hadapan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

DUNGUN – Seramai 150,000 pengunjung disasarkan ke Kawasan Cengal Besar, Hulu Dungun yang mempunyai pelbagai tarikan pelancongan bermula tahun hadapan.

Pengerusi Pelancongan, Kebudayaan, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim negeri, Datuk Razali Idris berkata, tumpuan akan diberikan untuk meningkatkan promosi kawasanberkenaan bagi menarik pelancong tempatan serta luar negara.

Menurutnya, antara tarikan utama pelancong di hutan simpan itu adalah pokok cengal terbesar di negara ini berusia kira-kira 1,300 tahun.

Katanya, selain itu, laluan di kawasan hutan itu juga mencabar dan menjadi kegilaan peminat aktiviti pacuan empat roda keindahan juga menjadi daya tarikan utama.

“Terdapat antara 20 hingga 30 pokok cengal lain lagi selain pokok cengal terbesar dan tertua di Malaysia dijumpai di Kompartmen 5, Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun pada  tahun 1999.

“Pelbagai tawaran pengalaman, pakej menarik diberikan kepada pelancong yang berkunjung ke sini. Kita juga rancang untuk berikan sijil khas kepada individu yang berjaya sampai ke pokok cengal terbesar ini kerana jalan dilalui begitu mencabar,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke pokok cengal besar di Hutan Simpan Pasir Raja, Hulu Dungun.

Pokok yang terletak lebih kurang 200 meter dari sempadan Taman Negara dan 390 meter paras laut di kawasan kompartmen 5 hutan tersebut telah menerima pengiktirafan The Malaysia Book Of Records sebagai pokok terbesar di Semenanjung.

Razali turut memaklumkan, pihaknya mencadangkan agar sistem pembayaran secara dalam talian dapat diwujudkan bagi memudahkan urusan permit para pelancong yang ingin memasuki hutan simpan berkenaan.

“Pelancong  yang datang dari Johor dan Singapura untuk melihat pokok cengal besar akan berasa sukar untuk pergi ke pejabat hutan semata-mata nak bayar RM5 untuk masuk ke kawasan hutan tersebut, jadi, lebih mudah sekiranya terdapat bayaran secara dalam talian,” ujarnya.

Selain itu, katanya, beliau turut mencadangkan pihak berkaitan agar laluan masuk hutan itu tidak dipagar di laluan masuk dan hanya meletakkan papan tanda untuk melancarkan lagi perjalanan pengunjung.

Usia pokok cengal besar di Malaysia itu mempunyai ukuran lilitnya 1,675 sentimeter (cm) dan ketinggiannya 65 meter atau bersamaan bangunan kira-kura 20 tingkat.

Pokok tersebut dianggarkan 1,300 tahun berdasarkan kaedah pengiraan pokok di kawasan tropika mengikut pertumbuhan gegelang (growth ring) pada kadar 0.4 sentimeter setahun.

– UNIT BERITA MANIS FM