Terengganu serah kepada JHEAT soal tauliah mengajar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Kerajaan negeri menyerahkan kepada Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) untuk menetapkan sebarang keputusan berhubung pentauliahan mengajar berkaitan agama Islam kepada individu berstatus ahli politik di Terengganu.

Menteri Besar Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, pengurusan dan pentauliahan itu terletak di bawah bidang kuasa JHEAT dengan setiap permohonan perlu melalui pelbagai ujian yang ditetapkan.

“Pejabat agama (JHEAT) untuk buat penilaian dan saya percaya semua ada justifikasi-justifikasi tersendiri sama ada menentukan boleh atau tidak atau syarat-syarat lain.

“Jadi (yang) terbaik saya rasa kita serahkan kepada pejabat agama (JHEAT) untuk buat keputusan,” katanya ketika ditemui ketika mengiringi Sultan Terengganu Sultan Mizan Zainal Abidin menunaikan Solat Jumaat di Masjid Kampung Tok Dir di sini, hari ini.

Ahmad Samsuri berkata demikian mengulas mengenai Selangor yang mengambil tindakan tidak memberi tauliah mengajar agama Islam kepada individu berstatus ahli politik di negeri itu.

Perkara berkenaan dimaklumkan Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dalam persidanan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang lalu, selepas mendapat perkenan Ahli Dewan Diraja Selangor dalam mesyuarat Dewan Diraja Selangor (Mesyuarat Diraja Selangor Bilangan 15) yang bersidang 4 Mac 2019.

Sumber: My Metro