Terengganu Strategik Bagi Pembangunan Sektor CCUS

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR: Terengganu dikenal pasti sebagai negeri strategik bagi pembangunan sektor Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) di Malaysia.

Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Liew Chin Tong, berkata kluster industri di Kerteh dan Kemaman didapati mempunyai potensi besar untuk memanfaatkan teknologi CCUS terutama bagi menyahkarbon sektor yang sukar dinyahkarbon seperti industri besi dan keluli, simen dan petrokimia yang beroperasi di Terengganu.

“Ini kerana lokasi kluster perindustrian ini yang berada dalam lingkungan cadangan hab CCUS Timur berpusat di Kerteh,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan Datuk Seri Ahmad Samsuri Mokhtar (PN-Kemaman) mengenai sejauh mana Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 berjaya melaksanakan empat misi ditetapkan sejak ia dilancarkan hampir setahun lalu dalam memajukan ekonomi dan meningkatkan produktiviti.

Chin Tong berkata, aktiviti untuk membangunkan CCUS sebagai sumber ekonomi baharu sedang dilaksanakan dengan pembabitan pelbagai kementerian dan agensi.

Katanya, beberapa kumpulan kerja ditubuhkan menerusi Jawatankuasa Pemandu diterajui Kementerian Ekonomi dan dianggotai pelbagai kementerian serta agensi untuk meneliti segala aspek terbabit dalam pembangunan ekosistem CCUS secara menyeluruh.

“Ini termasuk aspek perundangan, kewangan, pembangunan industri, pelaburan, teknologi, alam sekitar dan sebagainya,” katanya.

Beliau berkata, Rang Undang-Undang CCUS disasar dibentangkan di Parlimen pada akhir tahun ini. – BERNAMA