Terengganu Taja ‘Bulan Madu Kedua’ Bantu Pasangan Bermasalah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG: Kerajaan Terengganu terus komited membantu pasangan suami isteri bermasalah dengan menganjurkan program Bulan Madu Kali Kedua membabitkan 40 pasangan.

Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Nasional negeri, Hanafiah Mat, berkata kejayaan menyelamatkan lebih 60 peratus rumah tangga pasangan yang menyertai program itu sebelum ini, mendorong pihaknya meneruskan penganjuran yang akan diadakan tidak lama lagi.

“Kebanyakan pasangan dipilih sudah berkahwin melebihi lima tahun. Jadi, kita mahu membantu menyelamatkan perkahwinan mereka dengan harapan dapat kembali mesra sepanjang program itu,” katanya selepas Majlis Pelancaran Tabung Kemanusiaan Terengganu For Turkiye di Masjid Rusila di sini, hari ini.

Majlis pelancaran tabung itu dilakukan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang selepas menyampaikan kuliah mingguannya di masjid berkenaan.

Baru-baru ini, media melaporkan jumlah ibu tunggal yang direkodkan di Terengganu menunjukkan peningkatan iaitu kira-kira 10,000 orang dalam tempoh tiga tahun.

Hanafiah berkata, pasangan suami isteri itu akan menyertai program bulan madu selama tiga hari dua malam di lokasi menarik dan diisi dengan pelbagai program termasuk slot motivasi.

Beliau berkata, program berkenaan dikendalikan Yayasan Pembangunan Keluarga (YPK) Terengganu sebagai usaha mengurangkan jumlah perceraian pada masa kini.

Sumber: BERNAMA