Terengganu Tarik Pelaburan RM8.5 Bilion

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU- Terengganu merekodkan jumlah pelaburan kira-kira RM8.5 bilion sepanjang tahun 2021 walaupun negara berdepan pandemik Covid-19.

Pengerusi Jawatankuasa Perdagangan, Perindustrian, Pelaburan, Wilayah dan Kesejahteraan Pentadbiran negeri, Dato’ Tengku Hassan Tengku Omar, berkata pihaknya percaya kehadiran pelaburan luar itu susulan keyakinan pelabur terhadap kestabilan politik dan ekonomi di Terengganu.

Katanya, pelaburan tertinggi diterima adalah daripada sebuah syarikat yang akan mengeluarkan panel solar berjumlah RM5.1 bilion bulan lalu.

“Syarikat pengeluar besi iaitu Eastern Steel Sdn Bhd yang beroperasi di kawasan Perindustrian Teluk Kalong, Kemaman juga turut mengesahkan untuk menambah pelaburan sebanyak RM3 bilion.

“Kita juga turut menandatangani tiga perjanjian daripada tiga syarikat membabitkan jumlah pelaburan bernilai RM600 juta.

“Tiga syarikat tempatan itu bersetuju untuk melabur dan membina kilang termasuk dalam bidang pemprrosesan sisa berjadual dan loji janakuasa elektrik,” katanya pada media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MOU) antara Permint Plywood Sdn Bhd dan Timber Industry Traning Centre (TTITC), di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Tengku Hassan berkata, kerajaan negeri juga menerima permohonan beberapa syarikat termasuk dari Korea untuk melabur di negeri ini tahun depan.

Katanya, dua syarikat tempatan juga menunjukkan minat untuk melabur dalam bidang pembinaan hotel bertaraf lima bintang di Pulau Perhentian dan Pulau Kapas.

“Projek di Pulau Perhentian akan dimulakan dalam tempoh terdekat, Majlis Menandatangani Perjanjian Pajakan antara Lembaga Tabung Amanah Warisan Terengganu dengan Syarikat Pora-Pora Hotel sudah dimenterai pada 1 Disember lalu.

“Manakala projek pembinaan hotel di Pulau Kapas akan dimulakan sebaik selesai MOU yang dijangka akan berlangsung pada bulan depan,” katanya.

Sumber: TRDI News