Terengganu Umum Cuti Am Ahad, 20 Nov Ini

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
Sumber foto: Media MB Terengganu

KUALA TERENGGANU – Kerajaan negeri Terengganu mengumumkan Ahad ini sebagai cuti am sempena Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, ia berikutan pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob yang mengumumkan Jumaat dan Sabtu ini sebagai hari kelepasan am di seluruh negara bagi memudahkan rakyat Malaysia menunaikan tanggungjawab masing-masing untuk keluar mengundi pada Sabtu ini.

Beliau berkata, cuti am diumumkan PM itu jatuh pada hari kelepasan mingguan bagi Terengganu iaitu pada Jumaat dan Sabtu sekali gus menyebabkan cuti pada Sabtu digantikan pada hari berikutnya iaitu Ahad.

Katanya, keputusan itu adalah selaras dengan Seksyen 3 Akta Hari Kelepasan 1951.

“Sebagaimana yang diumumkan PM bahawa pada hari Jumaat dan Sabtu adalah cuti umum dan keadaan di Terengganu, saya sudah semak bahawa secara automatiknya di negeri Terengganu pada Ahad juga adalah cuti.

“Oleh kerana pada Sabtu adalah cuti (mingguan) di Terengganu, (jadi) bila diisytiharkan cuti maka (cuti itu) dibawa ke hari Ahad,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas menyempurnakan slot Dialog Awam (Town Hall) Mahasiswa Terengganu 2022 di Dewan Konvensyen Taman Tamadun Islam di sini hari ini.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM