TERHARU DAN GEMBIRA TERIMA KUNCI RUMAH DARIPADA KDYMM YANG DI-PERTUAN AGONG

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

PEKAN : Perasaan gembira dan teruja dizahirkan oleh Puan Nur Hasnah Md Yunos, 60, apabila menerima sendiri kunci rumah daripada Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah Ibni Al–Marhum Sultan Haji Ahmad Shah Al-Musta’In Billah kelmarin.

Puan Nur Hasnah merupakan ibu tunggal yang tinggal di Kampung Sungai Ganchong, di sini, menyifatkan kurniaan Seri Paduka Baginda sebagai rezeki yang tidak disangka untuk mereka sekeluarga.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah berkenan mengurniakan sumbangan dan bermesra dengan Mohd Khairi Othman, 45 merupakan orang kurang upaya (OKU) bersama keluarganya.

Sebelum itu Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong berkenan mengurniakan sendiri kunci rumah baharu yang telah siap dibina kepada mereka yang terjejas akibat bencana banjir yang lalu.

Selain itu, Encik Mohd Khanafiah Abu Bakar, 52, berasa bersyukur kerana menerima sebuah rumah baharu pemberian Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan disampaikan sendiri oleh Seri Paduka Baginda.

Encik Mohd Khanafiah yang merupakan seorang pekebun menjunjung kasih atas kurniaan tersebut.

Rumah setingkat berkeluasan 660 kaki persegi itu juga turut dilengkapi dengan perabot asas seperti katil, sofa, meja makan dan almari pakaian.

Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bersama Pemangku Raja Pahang Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah menunjukkan tanda bagus selepas mengurniakan kunci rumah kepada Mohd Khanafiah Abu Bakar selepas rumahnya terjejas akibat banjir di Kampung Tanjung Pulai, Pekan hari ini.

Pembinaan rumah yang mempunyai tiga bilik selain dilengkapi ruang makan dan tandas itu mengambil masa 16 minggu untuk dibina di atas tanah milik mangsa banjir tersebut.

Keprihatinan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong terserlah apabila Seri Paduka sendiri berangkat turun padang bercemar duli untuk menyantuni rakyat di sekitar Kampung Tanjung Pulai dan turut menyampaikan sumbangan kepada mereka.

Bagi Encik Mohd Khairi Othman, 45, yang juga orang kelainan upaya (OKU) teruja kerana berpeluang bertemu dengan Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong yang cukup istimewa baginya.

Beliau turut mendoakan Seri Paduka Baginda dan keluarga sentiasa dalam perlindungan Allah SWT.

Turut berangkat, Kebawah Duli Yang Maha Mulia Pemangku Raja Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri‘ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dan YAM Tengku Panglima Muda Tengku Ahmad Ismail Mu’adzam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sumber: PAHANGMEDIA