Terharu impian jejak kaki ke UniSZA bakal jadi realiti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Rantau Panjang: “Bantuan diterima ini memberi kelegaan kepada saya sekali gus akan belajar dengan gigih untuk mengubah nasib keluarga,” kata Nur Amalin Syaffah Saman, 19.

Nur Amalin berkata, sebelum ini dia berasa amat mustahil untuk menjejakkan kaki di menara gading sehingga terpaksa menoreh getah untuk mencari wang sebagai persediaan menyambung pengajian.

Anak sulung daripada lima beradik itu berkata, dia terharu sebaik menerima kunjungan wakil Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Terengganu yang menawarkan biasiswa untuk menampung kos pengajiannya selama tempoh tiga tahun dalam Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Kewangan Islam).

“Tanpa tawaran biasiswa ini, adalah mustahil untuk saya melanjutkan pengajian ke menara gading kerana hanya memperoleh upah menoreh getah antara RM700 hingga RM800 sebulan, selain mempunyai empat adik termasuk dua daripadanya orang kurang upaya (OKU).

“Alhamdulillah, saya bersyukur kerana cita-cita untuk bergelar seorang akauntan semakin cerah selain mahu mengubah nasib keluarga dan berterima kasih kepada UniSZA,” katanya.

Terdahulu, Nur Amalin menerima kunjungan Pengarah Pusat Komunikasi Korporat dan Pengurusan Perhubungan UniSZA Muzafar Mohd Din di rumahnya di Kampung Bukit Tandak, di sini, hari ini.

Pada masa sama, Pengerusi Eksekutif Yayasan Raja Shamri yang juga Pengasas Thirdforce Raja Shamri Raja Husain turut menyerahkan komputer riba dan telefon bimbit kepada Nur Amalin untuk kemudahannya mengikuti pengajian.

Sementara itu, Muzafar berkata, UniSZA akan menanggung kos pengajian Nur Amalin berjumlah lebih RM30,000 sehingga tamat di peringkat ijazah sarjana muda termasuk yuran pengajian, penginapan asrama dan kos sara hidup sebanyak RM600 sebulan.

Menurutnya, bantuan itu ditampung sepenuhnya oleh Tabung Wakaf UniSZA bagi meringankan beban pelajar kurang berkemampuan.

“Apabila mendapat maklumat mengenai pelajar kurang berkemampuan di mana-mana negeri pun, UniSZA akan berusaha membantu dan setakat ini seramai 10 pelajar ditanggung pengajian mereka.

“Saya mewakili Naib Canselor UniSZA, Prof Dr Fadzli Adam (menjalankan fungsi) mengucapkan tahniah kepada Nur Amalin dan kami mengalu-alukan kedatangannya ke UniSZA pada bulan depan,” katanya.

Portal Harian Metro sebelum ini melaporkan seorang gadis sanggup menoreh getah untuk mencari wang persediaan demi mengejar cita-cita untuk melangkah ke menara gading.

Kisah gadis ini juga tular di media sosial dan mendapat tanda suka hampir 45,000 dan lebih 1,000 perkongsian selain warganet turut menzahirkan rasa simpati.

Nur Amalin Syaffah Saman, 19, ditemani ibunya, Azilina Zakaria, 35, gembira selepas menerima tawaran biasiswa untuk menampung kos pengajiannya selama tiga tahun. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Nur Amalin Syaffah Saman, 19, ditemani ibunya, Azilina Zakaria, 35, gembira selepas menerima tawaran biasiswa untuk menampung kos pengajiannya selama tiga tahun. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Sumber: MY Metro