‘Terima Kasih Cari Dan Bantu Kami’ – Penerima Bantuan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

SHAH ALAM – Sebahagian rakyat Terengganu yang terkesan banjir di Lembah Klang mula menerima sumbangan daripada kerajaan negeri, semalam.

Razali Awang, 43, yang berasal dari Kampung Kedai Buloh merasakan pemberian Kerajaan bernilai RM500 amat besar.

“Terima kasih kerana kerajaan negeri sanggup cari kami di sini walaupun jauh.

“Saya rasa, usaha kerajaan negeri bagi tunai lebih baik kerana kita lebih tahu apa yang diperlukan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Seri Muda, semalam.

Jelas perancang bandar itu, usaha itu sedikit sebanyak membina ukhuwah anak-anak Terengganu di perantauan dalam menyumbang kembali kepada negeri.

Dalam pada itu, pekerja kilang yang telah bermastautin di Sri Muda lebih 10 tahun, Mohd Ikhwan Nordin, 36, menyifatkan bantuan itu tanda keprihatinan negeri kepada anak-anak perantauan.

“Bukan sedikit, ia banyak membantu sebenarnya.

“Bantuan tunai lebih memberi manfaat kerana kami lebih tahu apa diperlukan dan kerajaan negeri memahaminya,” katanya.

Salah seorang lagi penerima, Rosmiza Embong,52, berasal dari Kuala Terengganu, berterima kasih kepada kerajaan negeri atas segala usaha dilakukan.

“Ini meringankan beban kami yang hilang semua harta. Dengan ini, dapat sedikit membantu dan memberi semangat kepada kami.

“Masalah kami sekarang adalah pengangkutan ke kerja dan dengan bantuan tunai ini dapat membantu sedikit,” katanya.

Dalam majlis penyampaian bantuan banjir itu, sebanyak RM110,000 disumbang kerajaan negeri melalui Terengganu Incorporated Sdn Bhd, KMI Healthcare dan TDM Plantation Sdn Bhd.

Disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Keusahawanan, Sumber Manusia, Industri Mikro dan Hal Ehwal Pengguna negeri, Mohd Nurkhuzaini Ab Rahman kepada enam Badan Bukan Kerajaan NGO anak-anak perantauan Terengganu.

Sumber: TRDI News