Tumpat: “Alhamdulillah, sudah dua malam kami tidur dengan selesa kerana masing-masing ada bantal dan tilam,” kata Siti Nadia Mohd Sakri dari Kampung Tebing, di sini.
Kisah Siti Nadia, 28, dan sembilan ahli keluarganya yang hidup dalam kemiskinan sehinggakan lima daripada tujuh anaknya yang berusia antara empat hingga 12 tahun bersama bapa mentuanya, Yusof Ismail, 71, tidur di lantai ruang tami dan berbantalkan lengan mengundang perhatian ramai pihak.
Siti Nadia berkata, sejak kisah mereka disiarkan empat hari lalu, ramai pihak menghulurkan sumbangan terutama bantal, selimut dan tilam sama ada secara terus atau pos laju.
“Pada hari mula-mula disiarkan berita, sudah ada yang terus datang ke rumah menghulurkan sumbangan barang makanan serta wang tunai termasuk daripada Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (MAIK).
“Keesokan harinya pula (Sabtu) semakin ramai yang tampil memberi sumbangan tilam, bantal serta selimut dan menyebabkan kami terutama lima anak serta bapa mentua yang sudah sekian lama tidur atas lantai sangat gembira,” katanya ketika ditemui di rumahnya, di sini, semalam.
Terdahulu, mereka dikunjungi wakil Hotel The Grand Renai diketuai Pengarah Jualan dan Pemasarannya, Raja Rusmin Raja Mahmud yang turut menyerahkan selimut, dua bantal, tilam nipis, makanan yang dimasak pihak hotel serta sedikit wang tunai sumbangan penyumbang.
Siti Nadia berkata, bukan saja bantuan dalam bentuk material, keprihatinan rakyat negara ini juga dizahirkan menerusi sumbangan melalui akaun banknya yang ternyata tidak diduganya malah menganggapnya sebagai mimpi.
Dia yang sudah lama merancang untuk mencari rumah sewa lain memandangkan kediaman sekarang yang disewa pada kadar RM230 hanya sebuah bilik saja yang boleh digunakan dan dia juga berhasrat membuka perniagaan kedai runcit secara kecil-kecilan.
“Saya sangat sebak dengan keajaiban yang berlaku dalam hidup kami beberapa hari kebelakangan ini kerana kehidupan sangat jauh lebih selesa dan anak boleh makan apa saja yang mereka inginkan kerana saya sudah mampu untuk menyediakannya.
“Dalam pada berbelanja dengan berhemah, saya dan suami juga sedang mencari rumah sewa lain yang boleh dijadikan tempat tinggal dan pada masa yang sama ingin berniaga runcit secara kecil-kecilan.
“Sumbangan orang ramai akan kami manfaatkan sebaiknya dan hanya Allah saja yang dapat membalas jasa semua yang membantu,” katanya.
Sumber: My Metro