Terkilan gagal selamat dua anak kucing dalam kebakaran

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Dungun: “Dalam keadaan kelam-kabut, saya amat terkilan kerana gagal menyelamatkan dua anak kucing yang ditemukan hangus terbakar,” kata Zahari Mohamad selepas rumah didiaminya musnah dalam kebakaran di Kampung Padang Pulut, di sini, semalam.

Zahari, 61, berkata kejadian berlaku kira-kira 4.45 petang ketika dia sedang menunaikan solat sunat di sebuah masjid tidak jauh dari rumahnya.

Menurutnya, dia kemudian bergegas pulang dan mendapati api sedang marak di tingkat atas rumah dua tingkatnya selepas dimaklumkan jiran.

“Ketika sampai, isteri Zunaidah Zakaria, 58, serta anak dan menantu saya berjaya menyelamatkan diri tetapi gagal menyelamatkan barang berharga termasuk wang simpanan RM3,500.

“Kami sekeluarga tidak berdaya untuk memadam kebakaran kerana api sangat kuat.

“Saya reda dengan kejadian, tetapi sangat sedih apabila gagal menyelamatkan dua anak kucing kesayangan saya itu,” katanya yang menganggarkan mengalami kerugian sekitar RM200,000.

Zahari berkata demikian ketika menerima kunjungan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Kemajuan Terengganu Tengah (Ketengah) Holding, Zaid Sulaiman, hari ini.

Turut hadir, Ahli Lembaga Ketengah Aziman Hadi Nazri.

Sementara itu, Zaid berkata, pihaknya menyerahkan sumbangan sebanyak RM2,000 bagi meringankan penderitaan yang ditanggung keluarga berkenaan.

Menurutnya, selain itu, Ketengah turut menyampaikan sumbangan kepada 16 mangsa kejadian ribut di Kampung Wa, dua minggu lalu.

Sumber: My Metro