TERKINI: Tanah Runtuh Di Kerala Ragut Puluhan Nyawa

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Thiruvananthpuram: Sekurang-kurang 41 maut dalam beberapa kejadian tanah runtuh di kawasan berbukit di negeri Kerala, selatan India, hari ini, lapor media tempatan.

Malah, operasi mencari dan menyelamat (SAR) dilaporkan berdepan kekangan selepas sebuah jambatan utama di kawasan berkenaan turut runtuh.

Menteri Kesihatan Kerala, Veena George, berkata lebih 70 mangsa cedera, manakala Indian Express melaporkan ramai lagi dipercayai dihanyutkan dalam Sungai Chaliyar.

Menteri Perhutanan negeri, A K Saseendran, pula memberitahu Reuters bahawa keadaan adalah serius susulan bencana tanah runtuh yang melanda daerah Wayanad.

“Kerajaan mengerahkan semua agensi untuk membantu operasi SAR itu,” katanya.

Beliau berkata, pasukan tentera bertungkus lumus membina sebuah jambatan sementara selepas sebuah jambatan di daerah itu yang menghubungkan kawasan terjejas dengan bandar terdekat, Chooralmala, musnah.

Saluran berita tempatan, Asianet TV melaporkan, sekurang-kurang 41 mangsa terkorban akibat tanah runtuh di wilayah berkenaan.

Rakaman disiarkan televisyen menunjukkan air lumpur mengalir deras, di samping pokok tumbang dan banyak rumah musnah di kawasan terbabit.

Seorang lelaki dilihat bergelut untuk menyelamatkan diri selepas tersekat dalam lumpur yang mencecah paras dada selama berjam-jam, ketika anggota penyelamat berusaha berulang kali tetapi gagal mencapai mangsa.

Seorang penduduk yang terbabit usaha memberi bantuan, Rashid Padikkalparamban, memaklumkan bahawa sekurang-kurang tiga kejadian tanah runtuh berlaku di kawasan terbabit bermula sekitar tengah malam.

Kejadian itu menyebabkan jambatan yang menghubungkan kawasan terkesan, Estet Mundakkai, dengan Chooralmala, turut roboh dan dihanyutkan arus deras.

“Ramai yang bekerja di estet terbabit dan tinggal di dalam khemah sementara, dikhuatiri terperangkap atau hilang,” katanya.

Operasi SAR dan penyaluran bantuan giat dijalankan, termasuk membabitkan penggunaan dua helikopter Tentera Udara India, menurut Pejabat Ketua Menteri Kerala dalam satu kenyataan.

Jabatan Meteorologi India meramalkan negeri itu berterusan dibadai hujan amat lebat, hari ini. – REUTERS