Terlupa Baca Doa Makan? Ini Ungkapan Yang Boleh Diganti

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Adakah anda tahu bahawa asal-usul doa sebelum makan sebenarnya merupakan doa yang dibaca selepas makan kerana ia mengandungi pujian kepada Allah berkenaan nikmat dan rezeki yang dikecapi.

Ulama mengatakan bahawa sanad daripada riwayat doa itu adalah sahih, namun ia adalah doa yang lebih sesuai dibaca selepas makan kerana ucapan pujiannya lebih sesuai dibaca selepas menjamah makanan. (Rujuk Ibn ‘Abd al-Barr, Al-Istizkar, jilid 8, hlm. 387)

Bahkan, Baginda SAW sendiri tidak pernah memberatkan umatnya untuk membaca doa khusus sebelum makan dan saranan untuk membaca basmallah juga adalah sudah memadai.

Hal ini ada disebutkan dalam beberapa riwayat seperti;

Maksud: “Dari seseorang yang mengabdi pada Nabi SAW, ia berkata bahawa ia mendengar Nabi SAW ketika makanan mendekatinya, Baginda mengucapkan “Bismillah.” (Disebutkan oleh Syaikhul Islam Ibn Taimiyah dalam Al Kalimuth Thoyyib, no. 190 – Sheikh Al-Albani mengatakan bahawa sanad ia hasan)

Walau bagaimanapun, tidak salah untuk mengamalkan bacaan doa ini sebagaimana yang diajarkan kerana ia mengandungi maksud yang baik.

Yang paling penting ialah kita mendahulukan perbuatan makan itu dengan mengucapkan basmallah.

Tetapi, bagaimana jika anda terlupa membaca basmallah mahupun doa makan? Apa yang boleh dilakukan?

Daripada ‘Aisyah RA, Baginda SAW menyebut:

Maksud: “Apabila seseorag daripada kamu ingin makan, maka sebutlah nama Allah Taala. Sekiranya dia lupa menyebut nama Allah pada awalnya (sebelum daripada makan), maka bacalah: Dengan nama Allah, aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” (Hadis Riwayat Abu Daud, no. 3767. Syeikh Syu’aib al-Arnouth menilai hadis ini sebagai sahih li ghairihi)

Melalui Sahih Ibn Hibban ada disebutkan sebuah riwayat daripada Abdullah bin Mas’ud RA, Baginda SAW bersabda yang bermaksud:

“Barangsiapa yang terlupa menyebut nama Allah pada awalnya (sebelum makan), maka bacalah ketika dia ingat (bahawa dia belum menyebut nama Allah); “Dengan nama Allah, aku memulakannya dan aku mengakhirinya.” (Hadis Riwayat Ibnu Hibban, no. 5213)

Jadi, melalui hadis di atas, dapat difahami bahawa ungkapan yang boleh diganti jika anda tertinggal doa makan atau basmallah sedangkan anda sudah makan hampir separuh daripada hidangan tersebut, bolehlah dibaca;

 بِسْمِ اللَّهِ أَوَّلَهُ وَآخِرَهُ

Maksud: “Dengan nama Allah aku memulakannya dan mengakhirinya.”

Sumber: TZKRH.COM