Terpaksa bergolek untuk bergerak

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Jerantut: “Saya tidak mampu berdiri, jadi untuk bergerak, saya terpaksa bergolek,” kata wanita berstatus orang kurang upaya (OKU) Noraidah Makkup, 25.

Noraidah berkata, dia dilahirkan dengan kaki dan tangan pendek walaupun badan normal.

“Sebelum ini saya tidak menghadapi masalah untuk bergerak, ia bermula sejak lapan tahun lalu. Mungkin disebabkan berat badan saya bertambah,” katanya yang ditemui di Jerantut Feri, di sini.

Dia berkata, dia sekarang tinggal bersama abangnya, Mohammaf Asrah, 26.

“Saya boleh membuat semua kerja rumah bersendirian seperti membasuh, menyapu sampah dan memasak tetapi semuanya dilakukan sambil duduk.

“Jika ada sesuatu benda yang hendak diambil tetapi tak sampai, saya akan memanggil sepupu, Rosmah Abdul Rahim, 40, yang tinggal bersebelahan, ” katanya.

Noraidah berkata, abangnya bekerja di sebuah bengkel kereta dan pulang pada sebelah petang.

Katanya, sebelum pergi kerja, abangnya akan meletakkan lauk pauk dan sayuran di bahagian bawah peti ais bagi memudahkan dia mengambilnya.

“Baru-baru ini ada orang sudah buatkan sinki yang rendah, jadi mudahlah saya membasuh pinggan mangkuk,” katanya.

Noraidah berkata, dia mengharapkan ada pihak sudi menyumbang kerusi roda khas yang membolehkan dia bergerak dalam rumah.

“Sebelum ini, saya ada menerima sumbangan tetapi terpaksa memulangkannya kerana tidak dapat digunakan. Saya tidak boleh naik ke kerusi itu dan apabila sepupu mengangkat saya ke kerusi roda berkenaan, tangan saya pula tidak sampai untuk memusingkan roda.

“Saya merayu jika ada pihak yang dapat membuat kerusi roda khas sesuai untuk saya, sekurang-kurangnya saya dapat bergerak dalam rumah ini dengan selesa,” katanya.

Menurutnya, dia mendapat bantuan bulanan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sebanyak RM300 dan digunakan untuk membeli lampin pakai buang.

“Bergolek dalam rumah amat memenatkan kerana selepas dua tiga kali saya terpaksa berehat sekejap kerana keletihan,” katanya.

Sumber: My Metro