Terpaksa Menumpang di Pasar Basah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

RANTAU PANJANG – Tiga keluarga mengambil keputusan untuk tidur beralaskan tikar di dalam pasar basah Kedai Gual Periok, di Rantau Panjang selepas buntu mencari tempat selamat untuk bermalam.

Salah seorang mangsa, Azura Ida Yusuf, 46 tahun berkata, dia bersama suami dan lima anak ke pasar berkenaan pada 9 malam tadi dan terpaksa mengambil risiko bermalam di situ kerana tidak tahu ke mana perlu dituju.

Beliau berkata, pada awalnya, dia berdaftar ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Periok, namun dia sekeluarga mengambil keputusan untuk berpindah ke lokasi lain.

“Jumlah mangsa yang datang terlalu ramai, tambahan pula saya ada anak kecil yang berisiko untuk mudah sakit di samping mempunyai beberapa kekangan lain. Justeru, kami berpindah ke pasar basah ini bersama dua lagi jiran.

“Rumah kami digenangi air separas 0.5 sehingga 0.8 meter menyebabkan kami terpaksa berpindah keluar. Nak berpindah ke rumah saudara juga tidak boleh kerana semua laluan ke kampung ini tidak dapat dilalui kerana dinaiki air.

“Kami hanya sempat membawa beberapa helai pakaian dan dokumen penting, nasib baik ada penduduk kampung yang hulurkan bantuan tikar dan selimut untuk dijadikan alas tidur,” katanya yang juga ibu kepada lima cahaya mata berusia dua hingga 15 tahun.

Kampung Gual Periok antara penempatan yang terjejas teruk akibat banjir, malah penduduk juga mula meminta bantuan makanan kerana mereka ‘terkepung’ akibat semua jalan ke kawasan itu dinaiki air.

Sementara itu, Mohd Haslan Mohd Hasdi, 38 tahun berkata, dia bersyukur kerana ada tempat berteduh walaupun di dalam pasar kerana kediamannya sudah tidak selamat untuk didiami.

“Kami terpaksa tidur dalam kesejukan dan bertahan dengan nyamuk yang banyak kerana pasar ini adalah tempat terbuka. Alhamdulillah ada juga tempat untuk kami menyelamatkan diri.

“Saya berharap ada pihak yang boleh membantu menghulurkan sumbangan makanan kerana bimbang dengan anak-anak kelaparan,” katanya.

Sumber: HARIAN METRO