TUMPAT – Selepas setahun terpaksa berhenti sekolah disebabkan kemiskinan keluarga, Muhammad Haikal Daniel Marzuki dari Kampung Teluk Jering di sini, teruja akan kembali bergelar pelajar.
Remaja berusia 14 tahun itu akan mendaftarkan diri di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chabang Empat pada 19 Mac ini sempena sesi baharu persekolahan.
Anak sulung dari dua beradik itu berkata, selepas menamatkan sekolah rendah, dia terpaksa berkorban dan tidak meneruskan ke Tingkatan Satu kerana keluarganya tidak mampu.
“Bapa hanya mengambil upah membaiki perkakas elektrik dengan pendapatan yang tidak menentu dan kami juga tinggal di rumah yang daif.
“Sepanjang tidak bersekolah, saya membantu keluarga menguruskan nenek yang uzur kerana menghidap strok dan mengalami masalah penglihatan.
“Sudah lama saya tunggu untuk kembali bersekolah ditambah pula ramai rakan yang sedang belajar sering bertanyakan saya dan apabila dimaklumkan berita gembira (kembali bersekolah) ini, saya sangat teruja,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Minggu lalu, Muhammad Haikal Daniel dikunjungi wakil dari Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Tumpat yang menyerahkan borang pendaftaran untuk pengesahan kembali bersekolah sebaik masalahnya itu diutarakan oleh badan bukan kerajaan (NGO) Kawasan Rukun Tetangga (KRT) Kajang Sebidang/Teluk Jering.
Remaja itu juga menerima bantuan kewangan daripada Bank Islam Wakaf Bharu yang menaja segala kelengkapan persekolahannya sebelum dia dibawa membeli-belah di sebuah premis di Kampung Berangan, di sini.
Sementara itu, ibunya, Rosliza Ya, 39, berkata, mereka sekeluarga sangat bersyukur kerana Muhammad Haikal dapat meneruskan persekolahan kerana menyangkakan anak sulungnya itu akan terus meninggalkan bangku sekolah.
Dia berkata, mereka memang tidak mampu untuk menyediakan perbelanjaan buat persekolahan anaknya itu kerana untuk kelangsungan hidup pun adakalanya tidak mencukupi.
“Baru-baru ini kami dilanda musibah banjir menyebabkan rumah dinaiki air dan memusnahkan banyak peralatan rumah termasuk perkakas elektrik pelanggan suami menyebabkan kami terpaksa membuat ganti rugi.
“Memang sedih hati saya apabila setiap kali juga Haikal bertanya bila dia boleh kembali bersekolah tapi saya hanya mampu memintanya bersabar.
“Alhamdulillah, akhirnya doa kami termakbul kerana Allah hadirkan bantuan dari ramai pihak menyebabkan anak saya dapat kembali bersekolah dan saya difahamkan dia juga akan ditempatkan di asrama nanti,” katanya.
Sumber : BERITA HARIAN