RANTAU PANJANG – Keterujaan penduduk di Kampung Tersang untuk melihat anak-anak mereka kembali ke sekolah mulai Ahad ini terkubur apabila segala peralatan sekolah rosak akibat ditenggelami banjir baru-baru ini.
Meskipun telah meletakkan peralatan sekolah anak-anak di tempat tinggi namun ia tetap rosak akibat banjir baru-baru ini. Antara peralatan sekolah yang rosak termasuklah kasut, baju serta buku milik lebih 30 pelajar di kampung berkenaan.
Penduduk mendakwa, banjir baru-baru ini adalah yang terburuk dalam tempoh lima tahun. Ini kerana paras air banjir di dalam rumah mencecah lebih satu meter menyebabkan segala harta benda rosak teruk.
Penduduk, Wan Rohani Wan Salleh, 45, berkata, ketika air naik baru-baru ini, segala dokumen dan barang penting termasuk kelengkapan sekolah anak sudah diletakkan di atas para tinggi yang dibina khas untuk banjir.
Wan Rohani berkata, ketika banjir, mereka sekeluarga telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) dan sebaik kembali ke rumah, alangkah terkejutnya dia apabila melihat semua barang telah rosak akibat ditenggelami banjir.
“Lebih sedih apabila melihat kelengkapan sekolah anak juga rosak terutama buku sekolah. Sebelum ini mereka teruja untuk kembali ke sekolah memandangkan Kelantan sudah sekian lama belajar menerusi Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR).
“Sekolah akan bermula Ahad ini. Saya dan anak-anak mula berasa buntu memikirkan perkara itu. Semua barang sekolah sudah rosak dan ada juga yang telah hilang akibat dibawa arus,” katanya ketika ditemui di sini, hari ini.
Wan Rohani berkata, untuk membeli semula keperluan sekolah semestinya memerlukan kos memandangkan suaminya hanya kerja kampung dan bantuan wang ihsan RM1,000 yang diperoleh memadai untuk membeli barang dapur.
“Saya mempunyai empat anak yang masih bersekolah iaitu seorang Tingkatan Tiga yang bersekolah di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Gual Periok, manakala tiga lagi bersekolah di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To’ Deh.
“Saya ada beritahu anak supaya pakai baju biasa sahaja untuk ke sekolah, namun anak-anak tidak mahu kerana malu dengan kawan-kawan,” katanya.
Sementara itu, penduduk, Marlina Abdul Rahman, 41, turut mengalami situasi sama apabila banjir yang melanda baru-beru ini telah menyebabkan segala kelengkapan persekolahan tiga anaknya turut rosak dan hilang.
“Banjir baru-baru ini adalah yang terburuk dalam tempoh lima tahun apabila habis segala peralatan dalam rumah tenggelam.
“Jika sebelum ini barang penting yang diletakkan di atas para kayu yang tinggi tidak tenggelam. Namun banjir kali ini menyebabkan semuanya rosak ditenggelami air.
“Tiada apa yang boleh diselamatkan. Sedih melihat buku-buku sekolah anak yang rosak sedangkan sekolah akan dibuka tiga hari lagi.
“Saya buntu dan tidak tahu bagaimana untuk membuat persiapan sekolah anak. Daripada teruja kembali sekolah kini menjadi sedih dan pilu,” katanya.
Sumber: HARIAN METRO