Teruja Lihat Peserta Hafazan Di Televisyen Bakar Semangat Johan Hafazan

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : Teruja melihat peserta pertandingan hafazan di televisyen sewaktu kecil membakar semangat johan peserta hafazan bagi kategori juzuk 1 sehingga 20 (perempuan) untuk menghafaz Al-Quran.

Cik Nur Farhana Mohd Juhari, 19, yang merupakan pelajar Maahad Tahfiz Negeri Pahang (MTNP) berkata, ia juga satu cara mencabar diri untuk melihat kemampuan diri.

“Dulu saya tengok (peserta hafazan) dekat televisyen, rasa seronoknya dapat masuk televisyen. Terus rasa nak masuk juga.

Johan hafazan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah/ 2021 Masihi di Kuantan

“Bidang (hafazan) ini juga memang di bawah bidang pengajian saya, jadi saya rasa nak mencabar diri untuk lihat kemampuan dan kekuatan diri saya,” kata ketika ditemui pada Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Pahang Darul Makmur Tahun 1443 Hijrah/ 2021 Masihi di sini hari ini.

Beliau membawa pulang hadiah berupa wang tunai RM4,500, sijil penghargaan dan cendarahati yang disampaikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam dan Pendidikan Negeri Pahang, YB. Dato’ Sri Syed Ibrahim Syed Ahmad.

Turut hadir, Pengarah Jabatan Agama Islam Pahang (JAIP), YH. Dato’ Dr Haji Zulkifle bin Haji Ali Al‑Hafiz dan YB. Penasihat Undang-undang Negeri Pahang, Tuan Saiful Edris Zainuddin.

Beliau turut melahirkan perasaan sebak dan terharu kerana tidak menyangka dengan kemenangan beliau kerana pertama kali menyertai pertandingan ini.

“Rasa terharu, bersyukur dan tidak sangka dapat menang hari ini. Ini merupakan doa ibu bapa saya yang ingin lihat saya dapat memasuki pertandingan (hafazan) peringkat kebangsaan nanti,” katanya.

Sementara itu, johan hafazan juzuk 1 sehingga juzuk 30 lelaki, Encik Muhammad Haziq Mohammad Dzulkhairy,22, melahirkan rasa bersyukur kerana berpeluang mengekalkan kemenangan buat dua tahun berturut di dalam kategori ini.

“Alhamdulillah, bersyukur sangat kerana menang buat tahun kedua berturut-turut namun masih ada banyak penambahbaikan dan latihan yang perlu dibuat untuk peringkat kebangsaan nanti,” katanya yang merupakan pelajar jurusan Kejuruteraan Kimia di Universiti Malaya.

Seramai 36 peserta terlibat di dalam pertandingan ini yang melibatkan tiga kategori iaitu kategori hafazan juzuk 1 sehingga 10 lelaki dan perempuan; hafazan juzuk 1 sehingga juzuk 20; dan hafazan juzul 1 sehingga juzuk 30 yang berlangsung di Hotel Grand Darul Makmur selama tiga hari bermula Selasa lepas.

Sumber: PAHANGMEDIA