Terus Cari Putri

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

CHUKAI – Pasukan penyelamat masih tidak berputus asa dalam usaha mengesan Putri Nor Fatin Karim, 14, satu-satunya mangsa tragedi kepala air di Jeram Air Putih, dekat sini, yang masih belum ditemui selepas dua minggu kejadian berkenaan.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Cheneh, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hafiezul Mohamad, berkata operasi mencari remaja perempuan berkenaan diteruskan biarpun operasi pencarian dilakukan dengan skala lebih kecil.

Menurutnya, seramai 16 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Cheneh dan BBP Chukai menyertai gerakan berkenaan.

“Hujan lebat sejak malam hingga pagi tadi menyebabkan paras air di sektor pencarian meningkat tinggi dan sangat keruh. Kami sedang menunggu paras air kembali surut dan jernih sebelum menambah lebih ramai lagi anggota pencarian.

“Biarpun ramai berpandangan peluang menemui mangsa sangat tipis, kami terus berusaha melakukan pencarian, tidak berputus asa walaupun operasi sudah masuk hari ke-14 hari ini,” katanya.

Katanya, tumpuan pencarian termasuk di kawasan tebing jeram dan sungai serta bawah timbunan kayu hanyut.

“Kita faham perasaan keluarga mangsa yang sangat berharap, kami juga berharap dan berdoa semoga adik Putri Nor Fatin dijumpai,” katanya.

Dalam tragedi 1 Julai lalu, Karim Abdullah, 39, bersama isteri, Azizah Eiyi, 40, dan tujuh anak mereka, termasuk Putri Nor Fatin, datang dari FELDA Lepar Hilir 3, Kuantan, Pahang untuk berkelah di jeram terbabit.

Mereka kemudian disertai bakal menantu Karim dan Azizah, iaitu Muhammad Fikri Saliman, 24, dari Kampung Parit Kuda, Batu Pahat, Johor. Semua sembilan sekeluarga itu dan Muhammad Fikri bagaimanapun maut dihanyutkan arus deras kepala air.

Operasi pencarian dalam tempoh seminggu selepas kejadian berjaya menemui sembilan mayat, kecuali Putri Nor Fatin.

– BERITA HARIAN