Terus tolak rundingan dengan Russia, rakyat Ukraine makin menderita

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KYIV: Sekurang-kurangnya 10 orang maut dan 50 cedera dalam siri bedilan udara tentera Russia di pinggir bandar Kyiv dan Kherson kelmarin, ketika Moscow meningkatkan operasi ketenteraan terhadap infrastruktur penting Ukraine.

Jutaan penduduk negara ini bergelut dengan ketiadaan bekalan air dan elektrik selepas tentera Russia melancarkan puluhan serangan peluru berpandu sehingga menjejaskan grid kuasa Ukraine.

Selepas lebih 24 jam Russia melancarkan serangan di Kyiv, Datuk Bandar Vitali Klitschko memaklumkan, kira-kira 60 peratus rumah di bandar raya ini masih terputus bekalan elektrik.

Serangan terbaharu itu berlaku ketika kebanyakan negara di Eropah membuat persiapan untuk menghadapi musim sejuk.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) sebelum ini memberi amaran penduduk Ukraine berdepan saat sukar menjelang musim sejuk berikutan bekalan tenaga yang terhad dan keadaan itu boleh menyebabkan jutaan orang jatuh sakit akibat penyakit berkaitan sistem pernafasan seperti influenza dan Covid-19.

Dalam pada itu, wilayah Khmelnytsky merupakan satu daripada kawasan paling teruk terjejas akibat terputus bekalan elektrik, dengan hanya 35 peratus kapasiti dapat dipulihkan.

Dalam pada itu, Ukraine menuduh tentera Russia melancarkan serangan 70 peluru berpandu termasuk dron.

Namun, tuduhan itu dinafikan Russia dan mendakwa tentera Ukraine sendiri yang menyerang infrastruktur tenaga di Kyiv serta kawasan sekitar.

“Tiada satu pun sasaran serangan di Kyiv, malah Ukraine sendiri yang melancarkan serangan di tempat sendiri untuk mengelirukan pelbagai pihak,” ujar Kementerian Pertahanan Russia.

Sementara itu, pemimpin di beberapa wilayah Ukraine menegaskan walau apa yang berlaku, mereka sesekali tidak akan berunding dengan Russia bagi menghentikan serangan atau lebih penting, menamatkan perang.

Ketua Pentadbir Bandar Kramatorsk, Oleksiy Yakovlenko berkata, Russia menjangkakan, Ukraine akan menyerah kalah sekiranya mereka melancarkan serangan bertubi-tubi terhadap infrastruktur penting.

“Namun, mereka silap kerana, semakin kami diserang, kami menjadi semakin kuat untuk menentang,” jelasnya.

Jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, Ukraine sentiasa ‘mempunyai peluang untuk redakan situasi’ dengan mengadakan rundingan bersama mereka, namun kedegilan mereka menyebabkan situasi menjadi lebih buruk.

“Kami sedia berunding, tapi Ukraine? Nampaknya mereka lebih suka menyaksikan rakyat terseksa,” katanya.

Sumber: UTUSAN