TESDEC Bakal Guna Tenaga Solar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Pusat Pembangunan Kemahiran Negeri Terengganu (TESDEC) bakal menggunakan tenaga solar yang akan menampung penggunaan elektrik di seluruh kawasan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan Badan Bukan Kerajaan (NGO) Terengganu, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata jangkaan pemasangan solar Net Energy Metering (3.0) di atas bumbung bangunan Tesdec Berhad adalah pada awal bulan Mac 2023.

Katanya, pemasangan tersebut berkapasiti 272.8 kWp dengan kos anggaran sebanyak RM1.1 Juta.

“Projek bumbung solar ini menjadi bukti bahawa Tesdec Services Sdn Bhd mampu untuk memberikan penjimatan elektrik kepada pengguna.

“Sebelumnya kita telah melakukan perkara yang sama di beberapa buah masjid dan sekarang kita sedang melakukan pemasangan di bangunan Majlis Bandaraya Kuala Terengganu (MBKT),” jelasnya.

Beliau berkata demikian selepas menghadiri Majlis Memorandum Menandatangani Perjanjian Solar Power Purchase Agreement di antara Tesdec Services Sdn Bhd dan Tesdec Berhad bertempat di Bilik Mesyuarat Utama, Bangunan Pentadbiran TESDEC di sini hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Tesdec Services Sdn BHD, Shaharizukirnain Abd Kadir, Ketua Pegawai Eksekutif (KPE) Tesdec Berhad, Mohd Iskandar Muhammad Aziz dan Pengurus Besar Tesdec Services Sdn Bhd, Tuan Mohd Azrin Mohd Aris@Mohd Aziz.

Tambah Wan Sukairi, tenaga solar ini adalah sumber tenaga yang boleh diperbaharui (tenaga lestari) kerana ia dapat terus menghasilkan penjanaan elektrik selagi adanya cahaya matahari.

Di samping, penggunaan tenaga solar juga adalah mesra alam kerana sumber tenaga alternatif yang tidak mencemarkan alam sekitar dan bersih.

Sementara itu, Tesdec Services Sdn Bhd merupakan syarikat yang bergiat pantas dalam menjalankan projek solar untuk rumah di bawah skim Pemeteran Tenaga Bersih (NEM) Rakyat.

“Pada tahun ini, pihaknya telah bercadang untuk memasang 150 buah rumah di Terengganu dengan sistem solar mampu milik,” katanya.

Sumber : TRDI