Kuala Lumpur – Pengendali skuad hoki senior lelaki kebangsaan Arul Selvaraj melihat kekalahan tiga kali berturut-turut kepada pasukan di ranking nombor satu dunia Australia sebagai pengajaran bermakna dalam usaha meningkatkan kualiti permainan untuk kejohanan akan datang.
Arul berkata, anak buahnya kini dilihat tidak lagi mudah mengalah dan sentiasa melawan walaupun berada dalam situasi tertekan terutama ketika lawan mendahului perlawanan.
Malah, beliau berkata, anak didiknya turut menunjukkan peningkatan daripada sudut tenaga serta usaha selain beberapa percubaan hampir membolosi gawang lawan di Stadium Hoki Perth, semalam.
“Peningkatan yang mendadak dari segi tenaga serta usaha di dalam perlawanan dapat dilihat di mana kami memiliki dua pukulan sudut penalti dan nyaris diterjemahkan kepada gol. Kami juga berjaya untuk masuk ke dalam kawasan gol lebih banyak.
“Ia menunjukkan mereka bermain dengan lebih agresif walaupun kami memberikan 10 pukulan sudut penalti kepada pihak lawan dan mereka menjaringkan tiga gol daripada 10 kelebihan pukulan sudut penalti itu,” katanya.
Mengikut rekod, pada perlawanan pertama, Malaysia yang berada di ranking ke-11 dunia tewas 0-3 sebelum Australia yang mempunyai ketangkasan daripada sudut mentaliti meraih kemenangan 7-0 dan semalam, sekali lagi ‘mengajar’ skuad kendalian Arul dengan keputusan 5-0.
Pada perlawanan semalam, tirai jaringan perlawanan diterjemahkan Jeremy Hayward pada minit ke-11 sebelum Jake Harvie meledak gol selang dua minit kemudian. Hayward kemudian menjaringkan gol kedua peribadinya dalam perlawanan berkenaan pada minig ke-37.
Malaysia hampir memecah kebuntuan jaringan pada minit ke-41 selepas dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti namun percubaan Malaysian Tigers untuk mencari gol disekat barisan pertahanan dan penjaga gol Austalia.
Pada minit ke-42, Australia yang terus menekan pintu gol negara dihadiahkan dengan pukulan sudut penalti dan Hayward meledak gol hatrik hasil satu flik terus di bahagian bawah tengah pintu gol negara sekaligus menewaskan Adrian Andy Albert.
Australia menjaringkan gol kelima pada minit ke-55 selepas Jake Whetton yang berada di sebelah kanan pintu gol negara melakukan satu pukulan di sudut atas sebelah kiri pintu gol negara.
Malaysia dijadual mengharung satu lagi perlawanan persahabatan dengan Australia pada esok dan bagi Arul, mereka perlu merencanakan perancangan rapi bagi mengelak lawan memecah tembok pertahanan pasukan.
“Kami mempunyai kerja yang perlu dilakukan dari segi bertahan di dalam kawasan gol di mana terlalu mudah menghadiahkan pukulan sudut penalti kepada lawan. Esok adalah hari rehat untuk kami
Sumber: HARIAN METRO