TFC Benam KL City di Cheras

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Naib juara Liga Super, Terengganu FC (TFC) meraih bekalan tipis apabila menewaskan Kuala Lumpur (KL) City 1-0 dalam aksi suku akhir pertama Piala Malaysia di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, sebentar tadi.

Kemenangan itu sebenarnya sudah cukup manis buat anak buah Nafuzi Zain apabila mereka berdepan detik cemas terpaksa beraksi dengan kekurangan seorang pemain sepanjang lebih 30 minit.

Jaringan pembukaan TFC hadir pada minit ke-14 menerusi rembatan jarak dekat Kpah Sherman selepas berlaku situasi kelam kabut di dalam kotak penalti KL City.

Lima minit selepas itu, Kipre Tchetche melepaskan peluang keemasan untuk menggandakan jaringan buat TFC apabila rembatannya di dalam kotak penalti diselamatkan penjaga gol, Kevin Mendoza.

Malang menimpa skuad Penyu apabila mereka terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas penjaga gol, Suhaimi Husin dilayangkan kad merah kerana mengasari Romel Morales pada minit ke-62.

Keadaan itu turut menyaksikan Nafuzi terpaksa mengeluarkan Faiz Nasir bagi membawa masuk penjaga gol baharu, Shamirza Yusoff.

Kesempatan itu bagaimanapun gagal dimanfaatkan KL City untuk mencari bekalan sebelum aksi timbal balik, Sabtu ini apabila kebuntuan jaringan anak buah Bojan Hodak berlanjutan hingga wisel penamat.

Sumber : BERITA HARIAN