KUALA TERENGGANU – Gabungan warna keramat dan hitam putih yang begitu sinonim dengan masyarakat Terengganu menjadi warna pilihan jersi Terengganu FC (TFC) dan Terengganu FC II (TFC II) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Belia, Sukan dan NGO Negeri, Wan Sukairi Wan Abdullah berkata, konsep tradisional ini melambangkan masyarakat Terengganu dahulu sebagai pembuat bot dan nelayan yang berani cekap dan cekal.
“Saya cukup yakin para pemain TFC kita juga cukup cekal, kental dan tidak mudah putus asa dalam menghadapi rintangan ataupun perlawanan demi perlawanan, sebab itu lah Orang Terengganu kita ni ‘Nelang’.”
Itu menurut beliau pada Majlis pelancaran jersi 2022 di Stadium Tertutup Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak yang turut dihadiri Setiausaha Kerajaan Negeri Terengganu, Datuk Tengku Farouk Hussin Tengku Abdul Jalil dan Ketua Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh.
Selain itu, warna ‘turquoise’ turut menjadi pilihan skuad dari Pantai Timur itu yang menggunakan jenama Umbro.
Jersi berharga RM119 itu akan berada di pasaran tidak lama lagi. Saya berharap peminat setia bersabar walaupun Liga M bakal membuka tirainya pada 4 Mac ini,” katanya selepas majlis pelancaran jersi berkenaan, petang tadi.
Wan Sukairi turut berkata bagi musim ini, TFC menyasarkan sekurang-kurangnya untuk menjulang satu kejuaraan yang dipertandingkan musim ini selepas gagal melakukannya musim lalu.
“Kami meletakkan keyakinan dengan percaturan ketua jurulatih, Nafuzi Zain. Pasukan lebih mantap, mampu dijelmakan untuk memburu sekurang-kurangnya satu trofi musim ini,” katanya.
Sumber: UNIT BERITA MANIS FM