KUALA TERENGGANU – Ketua jurulatih Terengganu FC (TFC), Tomislav Steinbruckner akan melakukan rombakan berdepan Kuala Lumpur Rovers FC (KL Rovers) pada aksi kedua pusingan 16 saingan Piala Malaysia di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Gong Badak, malam esok.
Jelas jurulatih kelahiran Croatia itu, beliau mahu memberikan peluang kepada pemain yang kurang minit perlawanan bagi memastikan mereka sentiasa bersedia dan mampu memberikan impak positif buat pasukan.
Bagaimanapun misi kemenangan tetap menjadi keutamaan pasukannya meskipun sudah berada sebelah kaki ke peringkat suku akhir susulan kemenangan 4-0 pada aksi pertama yang berlangsung di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur, Cheras sebelum ini.
“Setiap keputusan yang baik sudah pasti akan meningkatkan lagi keyakinan pasukan serta keupayaan individu pemain, jadi saya akan memberi peluang kepada beberapa pemain yang kurang bermain.
“Bagaimanapun saya ingatkan kepada pemain agar waspada kerana juara Liga M3 itu sudah pasti mahu melakukan kejutan, jadi pemain perlu elak daripada menjadi mangsa ‘amukan’ lawan,” katanya.
Ketika ditanya ketiadaan kapten, Habib Haroon yang mengalami kecederaan hamstring, bekas Pengarah Teknikal Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd musim lalu itu tidak begitu risau sebaliknya tenang.
“Bukan Habib seorang sahaja yang diketepikan, malah penyerang Adisak Kraisorn juga sudah pasti tidak dapat diturunkan kerana berdepan dengan kecederaan, begitu juga dengan beberapa lagi pemain yang mengalami kecederaan ringan,” katanya.
– BERITA HARIAN