TFC Tempang Bertemu Selangor

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Terengganu FC (TFC) yang bakal bertembung dengan Selangor FC tempang apabila tidak dapat menurunkan tiga pemain tonggaknya pada aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) malam esok.

Tiga pemain berkenaan termasuk ‘kereta kebalnya’, Sardor Kulmatov yang belum cergas sepenuhnya daripada kecederaan lutut, Sony Norde mengalami demam manakala pemain sayap, Mohd Faiz Nasir belum bersedia untuk disenaraikan selepas mengalami kecederaan pinggang.

Bagaimanapun pengendalinya, Tomislav Steinbruckner menjelaskan beliau akan membuat penilaian terakhir menjelang pertemuan itu selepas mendapat nasihat daripada pegawai perubatan pasukan.

Namun jurulatih kelahiran Croatia yang baharu musim pertama mengendalikan skuad Penyu itu berkata, beliau tidak begitu bimbang jika pemain berkenaan tidak dapat diturunkan kerana masih mempunyai pengganti yang sesuai untuk mengisi kekosongan ditinggalkan tiga tonggak berkenaan.

“Kita akan lihat perkembangan Kulmatov dan rujuk dengan pegawai perubatan untuk mengetahui statusnya sama ada boleh beraksi ataupun tidak walaupun dia sudah menjalani latihan selepas terlepas tiga perlawanan sebelum ini akibat kecederaan lutut.

“Begitu juga dengan Faiz dan Norde, kita akan menilai tahap kecergasannya, tapi jika tiga pemain itu tidak dapat diturunkan, kita sudah bersedia pemain pengganti dengan sekali lagi pertahanan tengah bakal menjadi milik Argzim Redzovic manakala posisi lain kita juga sudah mengatur strategi,” kata bekas jurulatih kelab T-Team musim 2015 itu.

Mengulas pertemuan itu yang dijangka sengit, jurulatih yang lebih mesra dipanggil ‘Tommy’ itu tidak menafikannya terutama selepas Selangor mendapat tonik berharga apabila membenam Sri Pahang FC 4-0 pada aksi pusingan kedua Piala FA Sabtu lalu.

– BERITA HARIAN