TFC Terima Tajaan RM 1.6 Juta daripada Kumpulan Terengganu Inc

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA NERUS – Kumpulan Terengganu Incorporated (Terengganu Inc) meningkatkan nilai tajaan kepada Terengganu Football Club (TFC) sebanyak RM1.6 juta bagi menghadapi musim 2022/2023, berbanding RM1.5 juta pada musim ini.

Presiden dan Pengarah Eksekutif Terengganu Inc, Burhanuddin Hilmi Mohamed @ Harun berkata, penajaan bagi tahun keenam sejak 2017, Terengganu Inc serta anak-anak syarikat Kumpulannya sudah tidak asing lagi dalam menjadi penyokong dan penaja konsisten dalam arena sukan bola sepak di negeri Terengganu.

“Insyallah ini tahun keenam Terengganu Incorporated dan anak-anak syarikatnya bersama-sama menaja kelab TFC ini, dan Insyallah kita akan teruskan lagi untuk masa yang akan datang”.

“Kita melihat peningkatan pada tahun ini, tahun lepas kita membuat penajaan sebanyak RM 1.5 juta, tahun ini kita tambah RM 100 ribu lagi, dan Insyallah pada tahun-tahun akan datang kita akan naik lagi selaras dengan pencapaian”, katanya.

Tambahnya, “Kita pun sama-sama berbangga dengan prestasi TFC pada tahun ini, kita menjadi naib juara Liga Super, naib juara Piala FA dan layak ke Piala Asian Football Confederation (AFC) serta baru sahaja mara ke peringkat separuh akhir Piala Malaysia”.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas menandatangani Perjanjian Tajaan di antara Kumpulan Terengganu Inc dan TFC bagi musim 2022/2023 yang turut dihadiri oleh Ketua Pegawai Eksekutif TFC Sdn. Bhd, Ab Rasid Jusoh.

Tajaan bersama secara Kumpulan Terengganu Inc itu melibatkan anak syarikatnya, Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC), Syarikat Air Terengganu Sdn Bhd (SATU) serta Ladang Rakyat Trengganu Sdn Bhd (LRTSB).

Sementara itu, Burhanuddin Hilmi turut optimis TFC mampu memberikan kejayaan dalam mengharungi baki perlawanan Piala Malaysia yang seterusnya bakal menjulang gelaran juara pada tahun ini.

Sumber : UNIT BERITA MANIS FM