KUALA LUMPUR – Thailand dan Indonesia dianggap sebagai penghalang utama skuad hoki wanita dalam dewan untuk mengekalkan kilauan pingat emas yang diraih di temasya Sukan SEA Filipina 2019.
Pengendali pasukan, Mohd Badrul Hisham Osman berkata, kedua-dua negara jiran itu dilihat sudah melakukan persiapan rapi sejak awal lagi bagi menghadapi edisi Kemboja yang dijadual berlangsung pada Mei ini.
“Yang saya nampak, dengan apa yang kita tahu, negara yang bakal memberikan saingan seperti Thailand dan Indonesia. Ini kerana mereka sudah bersiap sedia dengan baik sekali,” kata Badrul yang kini berdepan tugas untuk ‘mematahkan’ strategi rakan sejawatnya di Indonesia yang juga bekas pengendali pasukan, Muhammad Dharma Raj Abdullah.
Dharma adalah tulang belakang kepada skuad negara di Filipina 2019 ketika meraih emas dan Indonesia pernah menewaskan Malaysia 0-1 di separuh akhir Kejohanan Piala Asia Dalam Dewan di Bangkok, Thailand tahun lalu.
Bagi memperkuatkan lagi keupayaan, pasukan dijadual menyertai jelajah ke Perth Australia pada 9 April ini dan bakal mengharungi enam hingga tujuh perlawanan antarabangsa di sana.
“Kalau di Filipina dapat emas, sudah tentunya kami nak kekalkannya… tak mahu kehilangan emas untuk negara,” kata Badrul yang turut menyatakan pasukan juga masih mempunyai tiga hingga empat pemain yang pernah berada dalam skuad emas empat tahun lalu.
“Ada lebih kurang dalam tiga atau empat orang saja seperti Farah Ayuni (Yahya), (Qasidah) Najwa (Muhammad Halimi) dan Iren (Hussin). Kita juga akan mengikuti jelajah di Perth dan selepas siri berkenaan, senarai 12 pemain terakhir akan dimuktamadkan,” katanya.
– BERITA HARIAN