BIRMINGHAM, United Kingdom – Juara Olimpik, Elaine Thompson-Herah memenangi pingat emas 100 meter Sukan Komanwel pertamanya selepas mengatasi cabaran Daryll Neita.
Pelari 30 tahun dari Jamaica itu mencatat 10.95 saat manakala pesaing dari England, Neita di tempat ketiga.
Thompson-Herah belum pernah memenangi emas individu di Sukan Komanwel walaupun berjaya mengumpul lima emas di Sukan Olimpik.
“Saya rasa gembira, sepatutnya saya mampu melakukan dengan lebih baik, tetapi saya tetap berpuas hati dengan gelaran pertama saya di Komanwel.
“Saya bermula pada tahun 2014. Kemudian mendapat tempat keempat pada tahun 2018 dalam acara 200m. Kini saya meraih emas, saya amat bersyukur,” kata Thompson-Herah.
Dia satu-satunya daripada trio bintang Jamaica bersaing kali ini selepas juara dunia 200m Shericka Jackson dan juara 100m Shelly-Ann Fraser-Pryce tidak menyertai kejohanan.
Thompson-Herah meraih gangsa di belakang dua rakan sepasukannya di Oregon dan hadir sebagai pesaing utama di Birmingham, dengan pelari England Dina Asher-Smith cedera di bahagian hamstring.
Hanya Neita, yang mara ke final Olimpik tahun lalu, dijangka menjadi pesaing utama Thompson-Herah dan juara British itu memperharui rekod peribadinya dengan catatan 10.90s pada separuh akhir.
Namun akibat kesilapan ketika permulaan, Neita sekadar merakam 11.07s dan ketinggalan di belakang Julien Alfred dari St Lucia.
Sumber : BERITA HARIAN