KUALA LUMPUR : Bekas vokalis kumpulan rock tanah air Jinbara, Tia atau nama sebenar Shamsul Bakhtiar Zakaria, meninggal dunia sekitar jam 9.17 malam Rabu.
Berita duka pemergian penyanyi lagu Farhana itu disahkan oleh isterinya, Suzan Ahmad, seperti dipetik Berita Harian.
“Ya betul, suami meninggal dunia sebentar tadi kerana penyakit kanser hati.
“Bagaimanapun saya tidak boleh bercerita lanjut kerana sedang menguruskan jenazah suami,” katanya.
Allahyarham yang berusia 53 tahun sebelum ini disahkan menghidap kanser hati selepas mengadu sakit perut pada Rabu lalu.
Terdahulu, isterinya yang merupakan bekas wartawan telah melancarkan tabung bagi membiayai pembedahan pemindahan hati Allahyarham Tia di New Delhi, India namun hasrat tidak kesampaian.
Dalam pada itu, berita pemergian Tia mendapat perhatian Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil yang turut merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham.
“Menerima berita sedih. Salam takziah buat keluarga Allahyarham Tia, bekas vokalis kumpulan Jinbara, yang telah meninggal dunia sebentar tadi.
“Semoga keluarga Allahyarham tabah dengan ujian ini,” katanya ringkas di laman Facebook hari ini.
Turut menerima perkhabaran itu, Persatuan Seniman Malaysia (Seniman) yang juga mengucapkan takziah kepada keluarga arwah dan mendoakan roh arwah ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman.
Difahamkan, jenazah Allahyarham akan dibawa pulang ke kediamannya, sementara pengurusan jenazah akan dibuat di Masjid Kota Raja dan dikebumikan di Kampung Jawa pada pagi esok (Khamis).
– AWANI