Tiada Calon SPM 2023 Terjejas Banjir – Fadhlina

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

NIBONG TEBAL — Tiada calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 yang terjejas biarpun ada beberapa negeri terkesan akibat banjir ketika ini, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata calon yang terlibat dengan banjir masih meneruskan peperiksaan dengan dibantu oleh beberapa agensi kerajaan di kawasan yang terlibat dengan bencana itu.

Beliau juga berkata setakat ini, sekolah yang menjadi pusat peperiksaan SPM tiada yang ditutup dan diteruskan seperti biasa malah peperiksaan itu berjalan lancar.

“Walaupun ada banjir tetapi calon-calon SPM kita tidak terjejas, mereka masih boleh meneruskan peperiksaan dengan dibantu oleh semua agensi di lokasi jadi kalau yang terputus jalan dan yang tak  boleh sampai ke pusat peperiksaan pun agensi kerajaan terlibat telah membantu calon-calon ini untuk sampai ke pusat peperiksaan.

Ada dalam kalangan di mereka (calon SPM) di kawasan banjir telah ditempatkan di asrama bagi memudahkan mereka, ada juga yang mana perlu pergerakan (ulang alik dari rumah ke sekolah) diuruskan oleh agensi terlibat,” katanya kepada pemberita di sini hari ini ketika diminta mengulas mengulas mengenai persiapan Kementerian Pendidikan (KPM) berikutan  situasi banjir semakin buruk di Johor dan Pahang  ketika peperiksaan SPM berlangsung ketika ini..

Fadhlina yang juga Ahli Parlimen Nibong Tebal berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan kerja sempena gangguan bekalan air di Pulau Pinang, di Sekolah Menengah Kebangsaan(SMK)  Seri Nibong, di sini dan terdahulu beliau turut mengadakan lawatan ke SMK Raja Tun Uda di Bayan Lepas  dan SMK Permatang Pasir di Permatang Pauh.

Peperiksaan SPM 2023 bermula sejak 8 Jan sehingga 7 Mac dengan melibatkan seramai 395,870 calon yang sudah mendaftar dan ia melibatkan tiga jenis ujian iaitu ujian bertutur, mendengar dan peperiksaan bertulis.

Ujian bertutur Bahasa Melayu bermula dari 8 hingga 11 Jan dan bagi Bahasa Inggeris pula bermula dari 17 hingga 23 Jan ini manakala ujian mendengar Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris pula diadakan pada 29 Januari dan peperiksaan bertulis akan bermula dari 30 Januari sehingga 7 Mac.

SPM 2023 melibatkan 3,340 buah pusat peperiksaan di seluruh negara dan 129,635 orang petugas peperiksaan bagi memastikan kelancaran pengurusan serta pengendalian peperiksaan.

— BERNAMA