Tiada halangan beli vaksin Covid-19 lulus NPRA

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Lumpur: Kerajaan tidak menghalang mana-mana pihak untuk membeli sendiri vaksin Covid-19.

Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, namun vaksin yang dibeli perlu mendapat kelulusan Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA).

“Sesetengah agensi, misalnya Petronas dan sebagainya nak beli vaksin, kita tak boleh halang.

“Syaratnya ia mesti diuji selamat dan kena ada lesen, tak boleh curi-curi seludup bawa masuk,” katanya dalam Bicara Khas Cabaran Pandemik Covid-19 yang disiarkan secara langsung di saluran RTM dan Bernama TV serta media sosial.

Mengulas lanjut, Muhyiddin berkata, kerajaan bagaimanapun sedang berusaha mempercepatkan proses pemberian vaksin kepada rakyat.

Menurutnya, berdasarkan laporan oleh Menteri Sains Teknologi dan Inovasi (MOSTI) Khairy Jamaluddin dan Menteri Kesihatan Datuk Seri Adham Baba bahawa bekalan vaksin akan diperoleh lebih awal daripada jadual.

“Saya dimaklumkan akan sampai lebih awal daripada jadual. Mengikut jadualnya tahun depan, 2022 baru dapat selesai tapi saya diberi jaminan sebelum akhir tahun ini akan dapat semua bekalan.

“Oleh itu, kita dapat capai imuniti kelompok atau 80 peratus suntikan vaksin sebelum akhir tahun ini,” katanya.

Katanya, kerajaan mensasarkan seramai 150,000 orang divaksin setiap hari di 600 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) seluruh negara.

Sumber: My Metro