Tiada Jerebu Sehingga Jun – MetMalaysia

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA LUMPUR – Peralihan Monsun Barat Daya yang baru melanda negara sejak 14 Mei dijangka tidak akan menyebabkan berlakunya situasi jerebu dalam tempoh dua bulan akan datang.

Timbalan Ketua Pengarah (Strategik & Teknikal) Jabatan Meteorologi Malaysia (MET Malaysia), Mohd Hisham Mohd Anip berkata, seluruh negara ketika ini sedang mengalami fasa peralihan monsun yang menyaksikan berlakunya hujan lebat dan ribut petir di beberapa kawasan.

Menurut beliau lagi, Monsun Barat Daya akan menyebabkan keadaan cuaca yang lebih kering dan panas.

“Bila kita masuk ke kemuncak Monsun Barat Daya yang kita jangka sekitar Jun, Julai atau Ogos nanti, maka cuaca akan lebih kering, lebih panas, dan ketika itu kita boleh jangkakan akan berlakunya jerebu terutamanya jerebu tempatan.

“Andai kata berlakunya cuaca yang sama di Indonesia, iaitu cuaca yang kering, maka kemungkinan berlakunya jerebu rentas sempadan akan ada dan berkemungkinan terjadi sekitar Ogos hingga Oktober,” katanya.

MetMalaysia tidak menjangkakan sebarang perubahan cuaca yang ekstrem termasuk masalah jerebu yang serius bagi bulan Mei dan Jun memandangkan negara masih baru melalui proses peralihan monsun ke Monsun Barat Daya.

Mohd Hisham berkata, Monsun Barat Daya pula secara lazimnya akan berlangsung sehingga sekitar pertengahan atau penghujung September.

Menyentuh keadaan taburan hujan lebat dan ribut petir di seluruh negara yang berlaku kebelakangan ini, beliau menjelaskan bahawa keadaan tersebut adalah situasi biasa ketika awal peralihan monsun. Justeru orang ramai tidak perlu bimbang memandangkan ia hanya bersifat sementara.

“Dalam beberapa hari yang lepas kita dapati ada aktiviti ribut petir yang agak menyeluruh, namun melihat kepada tinjauan cuaca atau jangkaan cuaca untuk tempoh seminggu ke hadapan, ia menunjukkan bahawa tidak ada cuaca yang signifikan akan berlaku seperti mana sehari dua yang lepas,” katanya lagi.

Walau bagaimanapun, katanya, kejadian ribut petir masih boleh berlaku namun dijangkakan hanya pada skala yang lebih kecil sahaja.

Malah, jelasnya, bagi kawasan Semenanjung Malaysia, keadaan cuaca diramal akan lebih banyak mengalami keadaan panas berbanding hujan. Keadaan ribut petir bagi tempoh yang sama akan lebih aktif dan tertumpu di kawasan Sabah dan Sarawak.

Sumber: AWANI