Tiada Kematian Akibat Covid-19 Di Pasar Payang

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUALA TERENGGANU – Jabatan Kesihatan Negeri Terengganu (JKNT) menafikan berita tular tentang berlakunya kematian akibat Covid-19 yang melibatkan peniaga di Pasar Payang 2 baru-baru ini.

Pengarah JKNT, Dato Dr Kasemani Embong berkata   walau bagaimanapun pihaknya mengesahkan memang terdapat jangkitan dalam kalangan peniaga pasar utama itu namun tiada kes kematian yang dilaporkan.

Katanya, bermula 31 Oktober sehingga 13 November 2021, seramai 36 daripada 1,000 orang peniaga Pasar Kedai Payang telah dijangkiti COVID-19. 

“Namun kesemua mereka telah diasingkan dan diberi rawatan. Seramai dua  orang telah dimasukkan ke Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) iaitu seorang dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang dirawat di wad COVID-19. 

“Kedua pesakit ini telah dibenarkan pulang manakala semua kontak rapat telah dikenalpasti dan dikuarantin,” ujarnya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam masa yang sama, Dr Kasemani meminta orang awam untuk tidak menularkan sebarang berita yang tidak sahih supaya tidak mencetuskan kebimbangan dan kekeliruan dalam kalangan masyarakat.

Menurut beliau, JKNT akan
sentiasa memastikan langkah pencegahan dan kawalan yang sewajarnya bagi memastikan
penularan COVID-19 dapat disekat.

Terdahulu, tular di media sosial kononnya ramai peniaga di Pasar Payang 2 meninggal dunia di samping ditidurkan akibat Covid-19.

Sumber: TRDI News