‘Tiada Pembangkang, Rakyat Boleh Kritik Kerajaan’ – Abdul Hadi

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

MARANG – Pas menggalakkan budaya menasihati termasuk rakyat boleh mengkritik kerajaan bagi memastikan berlaku semak dan imbang dalam kerajaan.

Presidennya, Tan Sri Abdul Hadi Awang berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai isu Terengganu tidak mempunyai pembangkang dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) pada penggal ini.

“Ahli-ahli DUN boleh nasihati kerajaan. Kita akan galakkan budaya menasihati termasuk rakyat mengkritik kerajaan.

“Semua orang boleh kritik kerajaan termasuk orang dalam kerajaan sendiri. Rakyat juga boleh sampaikan apa-apa pandangan mereka menerusi saluran yang rasmi,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Pengumuman Keputusan pilihan raya negeri (PRN) oleh Pas Terengganu di Dewan Tok Guru, Masjid Rusila di sini pada malam, Sabtu.

Pada Sabtu, PN yang terdiri daripada Pas, Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) kekal sebagai kerajaan negeri di Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Terengganu buat pertama kalinya menyaksikan kesemua 32 kerusi dimenangi PN yang bertanding menggunakan logo Pas, sekali gus menyaksikan tiada pembangkang di Dewan Undangan Negeri (DUN) itu.

PN juga menang besar di Kelantan apabila memperoleh 43 daripada 45 kerusi dan di Kedah gabungan itu memenangi 33 daripada 36 kerusi.

Mengulas lanjut, Abdul Hadi berkata, perkara itu boleh dilaksanakan meskipun Terengganu tidak mempunyai pembangkang dalam DUN.

“Kita orang Islam percaya kerajaan sempurna daripada ALLAH. Kerajaan ditadbir manusia ini ada kekurangan.

“Kekurangan ditampung oleh pimpinan secara kolektif bukan Menteri Besar sahaja malah melibatkan Exco dan wakil rakyat.

“Keduanya melalui sikap terbuka kerajaan terhadap kritikan-kritikan daripada semua pihak,” jelas beliau.

– Sinar Harian