JOHOR BAHRU – Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Johor, Suhaizan Kaiat, memaklumkan tiada Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN Kempas perlu diadakan berikutan penyandangnya dari BERSATU, Datuk Osman Sapian, meninggal dunia malam tadi.
Beliau berkata, kekosongan kerusi itu berlaku lebih daripada tiga tahun selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) iaitu pada Mei 2018.
“Oleh kerana kekosongan ini berlaku lebih tiga tahun daripada PRU-14, maka tiada PRK perlu diadakan.
“Selain itu tiada juga isu majoriti DUN Johor dengan kelebihan satu kerusi di pihak kerajaan, maka mengikut fasal 23(5) Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri, tiada PRK di DUN Kempas,” katanya ketika dihubungi.
Dalam pada itu, Suhaizan yang sedang mengerjakan umrah turut menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Osman.
Osman, 70, meninggal dunia di kediaman anaknya di Damansara, Kuala Lumpur, kira-kira jam 11.45 malam tadi.
Pada 13 Oktober lalu, Osman yang juga Ketua Bahagian BERSATU Ayer Hitam dilaporkan dimasukkan ke Hospital Pakar KPJ Johor selepas diserang strok ringan dan pada November lalu, beliau dilaporkan dirawat di Hospital Pengajar Universiti Putra Malaysia (HPUPM), Selangor.
Bagaimanapun, pada 13 November lalu Osman dilaporkan kembali stabil, tetapi masih berada dalam pemerhatian rapi dan tidak sedarkan diri.
Osman adalah Menteri Besar Johor ke-16 dan yang pertama daripada BERSATU selepas Pakatan Harapan (PH) memenangi PRU-14.
Allahyarham menjawat jawatan itu selama 11 bulan, sebelum melepaskan jawatan pada April 2019.
Sumber: BERITA HARIAN