Tiada ‘sial’ dalam bulan Safar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Safar bulan yang kedua dalam kalendar Islam. Dalam bahasa Arab safar bermaksud kosong. Sudah menjadi kebiasaan orang Arab pada bulan Safar ini, mereka meninggalkan rumah dan kampung halaman mereka kosong kerana melaksanakan tugas penting seperti berperang, menuntut bela kematian saudara mereka, berdagang dan sebagainya.

Dalam lipatan sejarah Islam, bulan Safar mencatatkan pelbagai peristiwa besar dan penting yang sewajarnya menjadi bahan renungan bersama setiap Muslim dalam kehidupan seharian. Di antara peristiwa penting tersebut ialah pernikahan Rasulullah SAW dengan Khadijah binti Khuwailid. Ia berlaku sebelum Nabi dilantik menjadi Rasul. Bulan Safar juga menyaksikan kebenaran berperang yang berlaku pada tahun ke-2 Hijrah. Peperangan pertama disertai Rasulullah adalah Wudan atau Abwa’ bagi menentang kekufuran. Seterusnya, peperangan Bi’r Ma’unah juga berlaku pada tahun ke-4 Hijrah, di bawah pimpinan al-Munzir bin ‘Amr As Sa’idi yang ditugaskan untuk berdakwah dan mengajar agama Islam dan al-Quran kepada Bani ‘Amir. Peperangan ini disertai 40 sahabat Rasulullah.

Selain itu, bulan Safar mencatatkan tragedi al-Raji’. Peristiwa ini berlaku pada tahun ke-3 Hijrah atau ke-4 H yang melibatkan tujuh sahabat baginda diutus bagi mengajar agama Islam kepada kaum ‘Udal dan al-Qarah, tetapi mereka mengkhianati perutusan itu dengan melakukan serangan hendap di sebuah tempat persinggahan bernama al-Raji’ di daerah ‘Usfan (kawasan antara Makkah dan Madinah). Di antara sahabat menyertai perutusan itu adalah Khubaib bin ‘Adi, Marthad bin Abi Marthad al-Ghanawiy, ‘Asim bin Thabit dan Zaid bin al-Dathanah. Semua sahabat dibunuh di tempat serangan kecuali Khubaib bin ‘Adi yang dibawa ke Makkah dan dibunuh di sana. Beliau orang pertama menunaikan solat dua rakaat sunat sebelum dibunuh yang kemudiannya menjadi ikutan sunnah.

Pembukaan Khaibar (kubu orang Yahudi) juga berlaku pada bulan Safar tahun ke-7 Hijrah dengan turut disertai 20 sahabat wanita antaranya Ummu Salamah, Safiyah binti Abd Mutallib dan Ummu Aiman. Di dalam peperangan tersebut, 15 sahabat gugur syahid manakala pada pihak Yahudi pula 73 terbunuh.

emikian di antara peristiwa penting dalam bulan Safar dirakamkan para sejarawan untuk dijadikan bahan pengajaran kepada umat Islam. Walaupun begitu, masih kedapatan sebahagian umat Islam terutama yang lemah akidah keimanan mempercayai kepada sempena baik atau prasangka buruk atau nahas terhadap bulan Safar ini, khususnya pada hari Rabu akhir bulan. Lebih malang lagi, mereka percaya dalam bulan Safar ini Allah akan turunkan puluhan ribu bala ke atas umat manusia, sedangkan bala sentiasa berada di mana-mana dan pada bila-bila masa sahaja yang dikehendaki Allah.

Justeru, berdasarkan kepercayaan karut tersebut, ada umat Islam menulis ayat-ayat tersebut iaitu ayat wifiq pada kertas atau pinggan mangkuk yang kemudian diletak dalam tempayan atau kolam atau perigi atau seumpamanya untuk diminum atau bermandi-manda dengan air tersebut kononnya untuk mendapatkan perlindungan daripada bala buruk pada hari tersebut.Perlu ditegaskan kepercayaan karut itu berpunca daripada amalan atau kepercayaan jahiliah yang dilarang Islam. Sehubungan itu, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Tidak ada penyakit berjangkit, tidak ada sempena (baik atau buruk) melalui burung-burung berterbangan, tidak ada sial pada burung hantu dan tiada nahas dalam bulan Safar. Hendaklah setiap daripada kamu melarikan diri daripada pesakit kusta sebagaimana kamu melarikan diri daripada singa yang bengis. (Hadis riwayat Bukhari)

Maksud hadis Rasulullah jelas menegaskan jangan sekali-kali umat Islam beriktikad penyakit berjangkit boleh memberi kesan dengan sendirinya atau sangkaan sial majal atau nahas bulan Safar itu berupaya memudaratkan kehidupan manusia. Sebaliknya apa juga peristiwa buruk atau baik, berjangkit atau tidak sesuatu penyakit itu semuanya daripada kekuasaan dan kehendak Allah.

Dalam masa sama, Rasulullah berpesan kepada setiap Muslim agar mengambil langkah berwaspada semasa berhadapan musibah dengan memerintahkan supaya melarikan diri daripada pesakit kusta dan jangan menghampiri mereka. Ini bukan bererti penyakit kusta boleh berjangkit dan memudaratkan orang ramai, sebaliknya larangan tersebut menyingkap suatu tindakan berjaga-jaga dan berusaha memelihara diri daripada meletakkan diri ke kancah bahaya dan kemusnahan.

Bukankah Allah sudah berfirman yang bermaksud: Belanjakanlah (apa yang ada pada kamu) kerana (menegakkan) agama Allah dan janganlah kamu sengaja mencampakkan diri kamu ke dalam bahaya kebinasaan dan perelokkanlah perbuatan kamu kerana sesungguhnya Allah mengasihi orang-orang yang berusaha memperbaiki amalannya. (Surah Al-Baqarah, ayat 195)

Berdasarkan keterangan nas-nas tersebut, nyatalah bahawa apa yang dipercayai dan diamalkan sebahagian umat Islam selama ini iaitu kepercayaan bulan Safar adalah bulan nahas atau sial, burung hantu burung sial dan seumpamanya adalah suatu kepercayaan yang karut dan bertentangan dengan ajaran Islam.

Begitu juga upacara atau pesta mandi laut, bersuka ria dengan pergaulan bebas antara lelaki dan perempuan tanpa batas dan sebagainya kononnya untuk mengelak daripada bala bulan Safar bertukar wajah sebagai pesta menambah dosa dan mencari bala kerana kadang-kadang ada yang mati lemas akibat kelalaian sendiri, malah ada yang tergamak melakukan perbuatan terkutuk di sisi syarak semasa pesta tersebut.

Selain itu, kedapatan juga orang tua di negara ini yang tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan atau majlis keramaian pada bulan Safar kerana dikhuatiri pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat atau tidak bahagia. Kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah. Dalam keadaan tertentu, ia boleh menyebabkan seseorang menjadi syirik kerana percaya kepada bulan, bukannya pada kuasa Allah.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidak berlaku hanya pada bulan Safar. Kepercayaan karut itu amat jelas ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh Islam. Allah berfirman bermaksud: Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jugalah hendaknya orang yang beriman bertawakal.” (Surah At-Taubah, ayat 51)

Sumber: Harian Metro