Tiada siasatan terhadap peserta Hartal Doktor Kontrak di Kangar

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kangar: Tiada siasatan lanjut akan dijalankan terhadap peserta demonstrasi aman yang menyertai Hartal Doktor Kontrak di Hospital Tuanku Fauziah (HTF), di sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kangar, Superintendan Wari Kiew berkata, pihaknya mengesahkan terdapat satu laporan polis dibuat berkenaan demonstrasi yang diadakan di perkarangan Blok B, HTF itu.

“Namun, tiada siasatan lanjut dijalankan kerana kita dapati tindakan peserta itu yang berkumpul tidak melanggar undang-undang.

“Malah, peserta juga didapati mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh kerajaan seperti pemakaian pelitup muka dan penjarakan sosial,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Semalam, hampir 50 orang doktor perubatan berjawatan kontrak mengadakan demonstrasi aman selama 30 minit di HTF yabg bermula pada 11 pagi.

Demonstrasi itu bukan sahaja disertai doktor kontrak yang bertugas di HTF tetapi doktor kontrak yang bertugas di seluruh kemudahan kesihatan kerajaan di Perlis.

Sumber: My Metro