TIADA TAMAN TEMA DI CAMERON HIGHLANDS : YAB MENTERI BESAR

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

KUANTAN : “Tak betul tu, tak ada dan tak pernah bincang dalam (Mesyuarat) Kerajaan Negeri pun,” itu tegas YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas laporan di media tempatan berkenaan sebuah syarikat yang berpengalaman 20 tahun akan membangunkan taman tema seluas 60 ekar bertempat di Cameron Highlands melibatkan pelaburan melebihi RM100 juta dalam tempoh 10 tahun.

YAB Menteri Besar Pahang, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy Wan Ismail

Beliau berkata, perkara berkenaan tidak pernah dibincangkan dan tiada sebarang permohonan rasmi dilakukan oleh mana-mana pihak sehingga terdapat bantahan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) yang disiarkan di sebuah portal berita, kelmarin.

“Bagus juga NGO bantah tu so (jadi) ada peluang untuk kita boleh jawab, kalau tidak kita pun tak tahu. Tapi hakikatnya perkara ini tak pernah dibincangkan dalam mesyuarat exco, tidak ada permohonan yang dikemukakan kepada Kerajaan Negeri.

“Janganlah percaya cakap borak-borak, saya selaku Ketua Negeri boleh katakan tidak pernah bincang dalam Mesyuarat Exco dan YB Setiausaha Kerajaan Pahang juga telah mengesahkan tidak ada permohonan.

“Kalau dia kata nak buat itu lah, nak ini lah.. itu dia punya hal lah. Itu faktor di luar kawalan, saya tak boleh tutup mulut dia dan kita cakap apa yang sebenar lah,” katanya selepas melawat Pusat Pemberian Vaksin (PPV) di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Rangin, di sini hari ini.

Turut hadir, YB Setiausaha Kerajaan Pahang, Dato’ Sri Dr Salehuddin Ishak; Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Negeri, YB. Dato’ Sri Norolazali Sulaiman serta Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perumahan Negeri Pahang, YB. Dato’ Abd Rahim Muda.

Hadir sama, Timbalan Menteri Kewangan I, YB Encik Mohd Shahar Abdullah; Pengarah Kesihatan Negeri Pahang, YH. Dato’ Dr. Nor Azimi Yunus dan Pengarah Jabatan Pendidikan Pahang, Encik Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Dalam pada itu, Dato’ Sri Haji Wan Rosdy berkata, mana-mana pihak tidak boleh membangunkan sebarang projek tanpa kebenaran Kerajaan Negeri.

“Walaupun di tanah persendirian kena submit (hantar) permohonan, bukan bermakna dia boleh buat kilang senjata api, boleh buat bom, tak boleh.. kena mohon dengan Kerajaan Negeri.

“Even (walau) di tanah sendiri pun kalau ada kayu balak, kalau nak keluarkan balak kena dapatkan kebenaran Kerajaan Negeri (kerana) itu ialah undang-undang dan peraturan,” katanya.

Ketika ditanya mengenai tujuan khabar angin itu tersebar dan adakah ia hanya propaganda, beliau menjawab bahawa ia adalah perkara biasa.

“Biasalah.. itu perkara biasa. Kalau dia senyap (tak buat isu) baru luar biasa,” selorohnya.

Sumber: PAHANGMEDIA