Tidak mahu tanggung rugi besar, Pok Nong cuti berniaga

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter
MD.Non Nawang membersihkan premis Warung Pok Nong miliknya yang tidak beroperasi sejak April lalu di Mengabang Telipot, Kuala Nerus baru-baru ini.
GAMBAR: Utusan Malaysia

KUALA NERUS: Kerugian ribuan ringgit yang ditanggung sebelum pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 mendorong pemilik kedai makan sotong celup tepung tersohor di negeri ini, Warung Pok Nong memilih untuk berehat seketika daripada beroperasi.

Md.Non Nawang, 65, atau lebih dikenali sebagai Pok Nong mengambil keputusan itu berikutan tidak mahu terus berputih mata memandangkan larangan makan di restoran masih lagi berkuat kuasa kini.

Katanya, tidak berbaloi untuk membuka perniagaan yang diusahakan sejak 30 tahun lalu dalam tempoh ini kerana sudah kehilangan pelanggan utama yang terdiri daripada pelancong.

“Sebelum ini pendapatan saya boleh mencecah RM 6,000 sehari tetapi kini hanya mampu termenung di rumah tidak boleh buat apa-apa.

“Hidangan celup tepung lebih sesuai dimakan panas berbanding dibungkus, jadi kurang berbaloi jika saya beroperasi kerana kita bergantung harap kepada pelancong,”katanya.

Md.Non berkata, modal harian yang digunakannya besar untuk membeli 100 kilogram sotong, 40 kilogram ikan dan 36 kilogram udang tidak termasuk kos barangan lain seperti minyak masak.

Menurutnya, sepanjang tidak beroperasi sejak April lalu, dia dan isteri, Raziah Omar, 59, mencari alternatif berniaga juadah sarapan pagi, namun terpaksa melupakan hasrat itu kerana faktor usia serta tahap kesihatannya.

Katanya, anak dan menantu yang selama ini membantu di kedai turut terpaksa beralih kepada perniagaan makanan secara dalam talian bagi meneruskan kelangsungan hidup.

Dalam pada itu, Md. Non mengakui sedikit trauma untuk kembali berniaga kerana premisnya pernah dikompaun RM1,000 oleh Jabatan Kesihatan Negeri kerana kegagalan mengawal pelanggan di samping insiden pelanggannya yang disahkan positif Covid-19.

“Walaupun bimbang situasi sama berulang, tetapi perniagaan masih perlu diteruskan kerana inilah sumber rezeki keluarga sejak 30 tahun lalu dan saya berharap sekurang-kurangnya pintu sempadan daerah dapat kembali dibuka dan orang ramai dibenarkan makan di kedai,”katanya

Sumber: Utusan Malaysia