Tidak perlu cuba nasib rentas daerah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Kinabalu: Segelintir penduduk Sabah disifatkan degil apabila cuba merentas daerah meskipun larangan pergerakan itu dikuatkuasakan bagi mengekang penularan wabak Covid-19.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata, sejak 10 Mei lalu hingga semalam, polis mengarahkan 642 kenderaan berpatah balik kerana cubaan berkenaan.

Katanya, lebih kesal apabila individu terbabit sememangnya tahu mengenai larangan merentas daerah tetapi tetap mahu mencuba nasib.

“Diingatkan sekali lagi bahawa perlu ada kebenaran khas sekiranya perlu merentas daerah. Ini bagi membolehkan Sekatan Jalan Raya (SJR) dapat dilaksanakan dengan lancar dan teratur,” katanya dalam kenyataan di sini, malam tadi.

Masidi berkata, keseluruhan 53 SJR beroperasi di seluruh negeri itu dan 21,161 kenderaan diperiksa setakat semalam.

Katanya, semalam juga menyaksikan 179 kenderaan diarah berpatah balik dan 10 kompaun dikeluarkan kerana kesalahan merentas daerah.

Sabah mencatat 60 kes baharu Covid-19 semalam, manakala 101 pesakit dilapor sembuh menjadikan baki pesakit yang masih dirawat di hospital atau Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) seluruh Sabah seramai 517 orang.

Sumber: My Metro