Tidak Perlu Dokumen lain, Ganti Mykad Mangsa Banjir Guna Sistem Pengecaman Cap Jari Sahaja – JPN

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

TUMPAT: Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) menggunakan sistem pengecaman cap jari sebagai kaedah khusus untuk proses penggantian Mykad mangsa banjir, sekali gus tidak perlu membuat laporan polis atau bukti lain.

Ketua Pengarahnya, Datuk Ruslin Jusoh, berkata pihaknya kemudian segera turun padang untuk memudahkan proses penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma.

Justeru, beliau berkata, JPN tidak menemui sebarang unsur salahguna atau penipuan perolehan Mykad gantian dalam kalangan mangsa banjir.

“Walaupun mangsa banjir yang kehilangan dokumen pengenalan diri atau mengalami kerosakan tidak perlu membuat laporan polis serta bukti sokongan lain, JPN menyediakan sistem pengecaman melalui cap jari sebagai kaedah khusus untuk proses penggantian.

“Jika sebelum ini, mangsa banjir perlu membuat laporan polis atau sertakan bukti lain untuk permohonan Mykad atau dokumen pengenalan diri gantian, kali ini sudah tidak diperlukan.

“Kita ada pengecaman melalui cap jari dan dalam sistem JPN juga sudah ada semua rekod mengenai pemohon jadi sebaik surut banjir, kakitangan kami segera turun padang untuk memudahkan proses penggantian dokumen pengenalan diri secara percuma,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu beliau yang diiringi Pengarah JPN Kelantan, Asrehan Ab Razak hadir di pejabat JPN Tumpat untuk menyampaikan sumbangan kepada 22 kakitangan agensi itu yang terjejas banjir baru-baru ini.

Dalam perkembangan yang sama, Ruslin berkata, jumlah permohonan Mykad atau dokumen pengenalan diri gantian di Pantai Timur sudah semakin berkurangan berikutan orang ramai terutama mangsa banjir semakin berwaspada dengan ketibaan bencana alam itu.

Beliau berkata, mereka juga sudah membuat persiapan awal termasuk menyimpan dokumen pengenalan diri di tempat selamat sebelum keluar menyelamatkan diri atau berpindah ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Jumlah gantian (dokumen pengenalan diri) semakin berkurangan menandakan kesedaran semakin meningkat disebabkan Pantai Timur selalu dilanda bencana banjir,” katanya.

Setakat ini, beliau berkata, sebanyak 500 permohonan dokumen pengenalan diri diterima dan JPN membabitkan Kelantan dan Terengganu diterima dan dijangka proses gantian akan diselesaikan dalam tempoh sekurang-kurangnya dua minggu lagi.

Beliau berkata, proses penggantian yang memakan masa sekitar setengah jam sahaja untuk siap itu juga dipermudahkan lagi melalui bas bergerak yang disediakan oleh JPN menerusi Program Menyemai Kasih Rakyat (MEKAR).

“JPN sentiasa mempermudahkan urusan penggantian kerana sedar dokumen itu sangat penting terutama untuk bantuan daripada kerajaan dan dijangka akan terus menerima permohonan lagi memandangkan masih ada mangsa banjir yang menyelesaikan urusan berkaitan kediaman masing-masing,” katanya.

Sumber: BERITA HARIAN