STOCKHOLM: Golongan yang sudah lengkap vaksinasi, tidak perlu diberi suntikan ‘penggalak’ vaksin COVID-19 dengan segera, kata Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Eropah (ECDC), semalam.
Bagaimanapun, ECDC berkata, pemberian dos tambahan kepada mereka yang mengalami sistem imun lemah, harus dipertimbangkan.
“Berdasarkan bukti semasa, tiada keperluan mendesak untuk menyuntik dos ‘penggalak’ kepada individu yang lengkap vaksinasi secara umum.
“Namun adalah penting untuk membezakan keperluan dos ‘penggalak’ bagi mereka yang bertindak balas sewajarnya terhadap vaksinasi utama, dengan dos tambahan untuk golongan mengalami sistem imun lemah yang tidak memberi tindakan balas mencukupi,” katanya.
Kenyataan itu menyusul selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengkritik negara kaya yang bersiap sedia untuk memberi dos penggalak kepada penduduk mereka, sedangkan negara miskin masih bergelut dalam usaha mendapatkan bekalan bagi suntikan dos pertama.
Sebelum ini, WHO dilaporkan berkata, data saintifik tidak menunjukkan bukti berhubung keperluan untuk suntikan ‘penggalak’ vaksin COVID-19.
Mengulas lanjut, ECDC memaklumkan, kira-kira satu daripada setiap tiga orang dewasa berusia 18 tahun ke atas di Kesatuan Eropah (EU)/Kawasan Ekonomi Eropah (EEA) masih belum menerima vaksinasi lengkap, setakat ini.
“Semua vaksin yang diluluskan EU/EEA ketika ini memberi perlindungan tinggi terhadap kes kemasukan ke hospital, penyakit teruk dan kematian berkait COVID-19,” katanya. – AFP