KUANTAN – Kehidupan seorang wanita dirundung duka selepas adiknya disahkan menghidap penyakit buah pinggang kronik sejak 10 tahun lalu.
Noraini Ariffin, 45, berkata, biarpun diuji dengan tahap kesihatan adiknya, Mohamad Khairul Ariffin, 31, namun beliau sedikit pun tidak menyalahkan takdir.
Sebaliknya, anak kedua daripada tujuh beradik itu tetap setia menjaga adik lelakinya itu seperti menguruskan anaknya sendiri, selain berkorban masa dan tenaganya.
“Saya terima ujian ini. Kalau Tuhan hendak uji, dia (Mohamad Khairul) tinggal dengan saya bukan seperti adik tapi sudah macam anak sendiri.
“Apabila dia sakit macam ini, takkan saya hendak buang,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Kampung Padang di sini pada Ahad.
Ibu kepada dua anak itu memberitahu, selain buah pinggang kronik, adiknya turut menghidap penyakit saraf, sawan, jantung dan paru-paru bocor sejak beberapa tahun lalu, sekali gus kehidupan Mohamad Khairul berubah 100 peratus, selepas tidak mampu bergerak dan bekerja.
Noraini menambah, adiknya kini bergantung sepenuhnya kepada ahli keluarga untuk menguruskan saki-baki kehidupan sehingga ke akhir hayat.
“Dia bergantung sepenuhnya kepada saya dan suami (Napi Che Isa) yang tanggung segalanya.
– SINAR HARIAN