Tindakan merakam perbuatan penguat kuasa atau individu di tempat awam tidak menjadi sebarang kesalahan.
Peguam kanan, Muhammad Hasif Hasan, berkata perbuatan merakam kejadian hanya tidak boleh dilakukan jika terdapat arahan khusus seperti di dalam bilik bicara mahkamah atau dalam wad hospital.
“Ada rakan meminta pandangan saya mengenai kejadian penguat kuasa yang cuba merampas telefon bimbit selepas mengambil rakaman video dalam insiden peniaga menjual tanpa lesen.
“Saya sudah meneliti akta yang ada seperti Kanun Tatacara Jenayah dan setakat ini saya tidak menjumpai sebarang kesalahan atau tegahan merakamkan mana-mana tindakan yang dilakukan oleh penguat kuasa atau individu di tempat di tempat awam.
“Apa yang dinyatakan dalam undang-undang adalah pihak berkuasa boleh merampas telefon bimbit sekiranya mempercayai ia adalah harta curi atau harta yang bersalahan dengan undang undang,” katanya menerusi kenyataan di Facebook.
Muhammad Hasif berkata, sebagai contoh wartawan TV3 menerusi rancangan 999 boleh merakamkan operasi serbuan dan tangkapan oleh pihak berkuasa terhadap suspek dan disiarkan untuk tontonan umum.
Katanya, mungkin ketika rakaman, akan ada pihak yang tidak berpuas hati tetapi sekiranya undang-undang membenarkan maka tiada kesalahan dilakukan oleh perakam.
Terdahulu, polis menjalankan siasatan berhubung video yang tular menyaksikan berlaku pergelutan di antara seorang penguat kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT) Pasir Mas dan peniaga nasi dalam kejadian bersebelahan Bank Islam di sini, pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Pasir Mas, Asisten Komisioner Mohd Nasaruddin M Nasir, berkata pihaknya juga sedang mengesan peniaga berkenaan untuk siasatan lanjut.
Katanya, setakat ini, polis sudah menerima satu laporan polis daripada seorang penolong pegawai penguat kuasa PBT berusia 33 tahun malam tadi, susulan videonya merebut telefon peniaga ketika menjalankan tugas, tular sejak petang semalam.
Semalam, tular video yang berdurasi selama 45 saat menyaksikan seorang penguatkuasa merampas telefon bimbit peniaga nasi kerana lelaki berkenaan merakam perbuatan penguat kuasa yang mengambil tindakan dengan merampas peralatan peniaga itu.
SUMBER : Berita Harian