Kota Bharu: “Setiap kali keluar mengenai amaran hujan lebat, tidur malam kami pasti tidak lena kerana perlu berjaga-jaga,” kata penduduk Kampung Pantai Kundor, Wan Aziz Wan Abdullah.
Wan Aziz, 52, berkata, lazimnya hujan lebat yang berterusan akan disusuli kejadian air pasang yang mendatangkan kebimbangan kepada penduduk di kampung itu.
Katanya, kejadian rumah rosak dan kepingan zink berterbangan sudah biasa dilihat menjelang musim tengkujuh dan tiada sebarang persediaan yang akan dilakukan melainkan menyimpan segala dokumen di tempat selamat.
“Menjelang November hingga Januari memang tempoh yang agak merisaukan kami kerana selain hujan berterusan dan angin kencang, ombak juga bergelombang akan menyebabkan air pasang.
“Ombak setinggi hampir tiga meter akan melanda benteng dan ada kalanya merempuh rumah penduduk yang hanya beberapa meter sahaja dari pantai,” katanya ketika ditemui di sini.
Wan Aziz berkata, majoriti penduduk kampung itu akan berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) yang disediakan kira-kira seminggu.
Bagaimanapun, katanya, selagi belum tamat musim tengkujuh, mereka akan kembali lagi ke PPS kerana gelombang seterusnya pasti akan muncul.
“Sebaik pulang dari PPS, kebanyakan peralatan rumah belum lagi kami kemas kerana akan kembali semula ke pusat pemindahan itu disebabkan masih ada beberapa gelombang lagi menyusul,” katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) hari ini mengeluarkan amaran hujan berterusan peringkat kuning atau waspada yang dijangka berlaku di Kelantan serta Terengganu bermula esok hingga Jumaat ini.
Ketua Pengarahnya, Muhammad Helmi Abdullah berkata, sembilan kawasan di Kelantan iaitu Tumpat, Pasir Mas, Kota Bharu, Jeli, Tanah Merah, Bachok, Machang, Pasir Puteh dan Kuala Krai dijangka akan berhadapan hujan berterusan selama dua hari dan berpotensi berlaku banjir.
Kebimbangan turut disuarakan seorang lagi penduduk, Abdullah Awang, 65, yang selalu berhadapan dengan kejadian air pasang sehingga memasuki dalam rumahnya.
Abdullah berkata, bukan setakat digenangi air, ruang dalam rumahnya pasti dicemari pasir dan mereka sekeluarga akan bergotong-royong membersihkan kotoran itu bersama air yang biasanya surut dalam tempoh empat hingga lima jam.
“Keadaan seumpama ini memang beberapa kali dialami pada penghujung tahun dan jika tiada benteng penghalang banjir, situasi makin teruk.
“Lokasi rumah saya pada asalnya jauh dari pantai namun semakin menghampiri pantai kerana hakisan dan kini hanya beberapa meter sahaja jaraknya, nasib baik sempat dibina benteng dan jika tidak, rumah kami pasti sudah lenyap,” katanya.
Sumber: My Metro