Tiga anggota polis direman berhubung dakwaan rasuah

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kota Bharu: Tiga lagi anggota polis direman selama empat hari bermula hari ini bagi membantu siasatan berhubung dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Pada masa sama, seorang pegawai kanan polis disambung reman selama empat hari bagi membantu siasatan kes yang sama.

Perintah tahanan reman dikeluarkan Penolong Pendaftar Mahkamah Majistret Kota Bharu, Nor Faezah Abdullah terhadap ketiga-tiga anggota itu masing-masing berusia 28, 34 dan 39 tahun serta pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan (ASP).

Tiga anggota polis direman selama empat hari bermula hari ini dan pada yang sama seorang pegawai kanan polis disambung reman selama empat hari di Mahkamah Kota Bharu di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR
Tiga anggota polis direman selama empat hari bermula hari ini dan pada yang sama seorang pegawai kanan polis disambung reman selama empat hari di Mahkamah Kota Bharu di sini. FOTO NIK ABDULLAH NIK OMAR

Tiga anggota berkenaan adalah Sarjan dan Lans Koperal.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Kelantan, Rosli Husain ketika dihubungi mengesahkan tiga anggota itu ditahan reman.

Katanya, tiga anggota itu ditahan reman bagi membantu siasatan berhubung kes berkenaan.

“Kesemua mereka disiasat mengikut Seksyen 17 (a) Akta SPRM 2009,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, dua pegawai kanan polis masing-masing direman empat dan lima hari bagi membantu siasatan dakwaan meminta suapan sebanyak RM200,000 daripada pasangan pengedar dadah.

Pegawai berpangkat ASP ditahan reman bermula Jumaat lalu dan seorang lagi berpangkat Deputi Superintendan (DSP) ditahan reman bermula Sabtu lalu. Mereka berusia 48 tahun.

Sumber: My Metro