Tiga Berputih Mata Terjebak Pinjaman Tidak Wujud

Share on facebook
Facebook
Share on twitter
Twitter

Kuala Terengganu: Polis Terengganu menerima sebanyak 81 laporan membabitkan kes jenayah komersial dalam tempoh seminggu bermula 18 Februari lalu berbanding hanya 71 laporan pada minggu sebelumnya.

Ketua Polis Terengganu Datuk Mazli Mazlan berkata, menerusi itu, sebanyak tujuh kertas siasatan dibuka membabitkan kerugian sebanyak RM 44,455.

“Daripada jumlah kertas siasatan yang dibuka, tiga daripadanya membabitkan pinjaman tidak wujud dengan jumlah kerugian sebanyak RM 20,040.

“Berdasarkan fakta kes, mangsa melihat iklan berkaitan pinjaman wang melalui medium media sosial Facebook sebelum tertarik dengan tawaran yang diberikan oleh syarikat pinjaman berkenaan.

“Mangsa bersetuju untuk membuat pinjaman sebelum diminta untuk membuat pelbagai bayaran bagi mendapatkan wang pinjaman itu dan membuat bayaran ke beberapa akaun bank (keldai akaun) namun tidak menerima wang pinjaman itu,” katanya dalam kenyataan di sini.

Mazli berkata, kes pertama membabitkan seorang kontraktor yang berusia 41 tahun yang membuat permohonan pinjaman wang sebanyak RM10,000 dan mengalami kerugian sebanyak RM 4,100.

Katanya, bagi kes kedua, mangsa yang juga peniaga berusia 37 tahun memohon membuat pinjaman wang sebanyak RM 60,000 namun mengalami kerugian sebanyak RM 8,400.

“Kes ketiga pula membabitkan seorang operator yang berusia 33 tahun membuat permohonan pinjaman wang sebanyak RM 60,000 dan mengalami kerugian sebanyak RM 7,540.

“Orang ramai diingatkan supaya menyemak nama syarikat, syarat sah pemberi pinjam wang berlesen dan prosedur bagi pinjaman wang sebenar.

“Orang ramai juga dinasihatkan untuk membuat semakan melalui laman sesawang Kementerian Perumahan Dan Kerajaan Tempatan (KPKT) untuk pengesahan syarikat pinjaman wang,” katanya.

– HARIAN METRO